PUTRAJAYA – “Seorang pemimpin yang baik harus terima permohonan maaf daripada sesiapa sahaja”.
Itu kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai respon Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap permohonan maaf terbuka Datuk Seri Najib berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini.
“UMNO berpendirian (seperti kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki) kita merasakan bahawa Datuk Seri Najib was misslead by somebody dan by group of people (ditipu oleh seseorang dan sekumpulan) dan perkara ini harus diambil keperhatinan,” katanya yang juga Presiden UMNO ketika ditemui di Konvensyen Ekonomi Gig Malaysia Madani di sini hari ini.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, semua pihak tidak wajar terus bersangka buruk dan melemparkan tafsiran tidak sepatutnya berhubung isu tersebut.
“Kita jangan terus prasangka, (jangan) lemparkan pelbagai pentafsiran terhadap perkara itu (yang) kita tahu kenyataan itu keluar selepas keterangan saksi-saksi di mahkamah dan hanya disedari Datuk Seri Najib itu,” tambahnya.
Khamis yang lalu, Najib membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian salah laku dalam syarikat 1MDB menerusi kenyataan yang dibacakan anaknya, Datuk Mohamad Nizar.
Dalam kenyataannya itu, Najib kekal menyatakan dirinya tidak bersalah dan meletakkan kesalahan kepada ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low dan eksekutif Petrosaudi.
Kemudian, Anwar pula menerima permohonan maaf itu secara terbuka.
Bagaimanapun hari ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan permohonan maaf itu tidak membawa apa-apa makna.
Ini kerana beliau berpendirian, mahkamah telah menjatuhkan hukuman bersalah kepada bekas Perdana Menteri tersebut. -MalaysiaGazette