BEBERAPA pemimpin negara mengucapkan tahniah kepada pasangan beregu campuran, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei yang mencipta sejarah apabila muncul juara Kejohanan Badminton Dunia 2025 di Perancis pada Ahad.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kejayaan itu merupakan hadiah paling indah buat tanah air tercinta pada hari keramat kemerdekaan.
Menurutnya, semangat juang serta disiplin mereka menjadi bukti bahawa Malaysia mampu berdiri megah di pentas dunia.
“Alhamdulillah, beregu campuran negara kita telah dinobatkan sebagai juara dunia di bumi Perancis sebentar tadi.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada wira dan wirawati negara kita.
“Ramai yang mengakui menitiskan air mata ketika mata kemenangan terakhir diraih. Satu detik penuh emosi yang benar-benar menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Lebih manis, kejayaan bersejarah itu hadir pada Hari Kebangsaan ke-68, sekali gus menjadikannya hadiah paling bermakna buat seluruh rakyat Malaysia.
Tambah Ahmad Zahid, itulah semangat merdeka yang sebenar.
Jelasnya, rakyat perlu bersatu hati tanpa mengira bangsa dan agama serta terus mengharumkan nama negara.
“Selepas ini, kita menanti pula aksi final beregu wanita negara, Pearly Tan–M Thinaah.
“Ayuh kita terus berdiri teguh di belakang mereka, memberikan doa dan sorakan padu agar satu lagi sejarah tercipta buat Malaysia!
“Malaysia juara, Malaysiaku boleh,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut menyampaikan ucapan tahniah dengan menyatakan kejayaan tersebut benar-benar menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.
“Terbaik pasangan beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, mencipta sejarah menjuarai Kejohanan Badminton Dunia pada Hari Kemerdekaan Negara.
“Tahniah, anda benar-benar menceriakan hari kami,” katanya.
Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong juga tidak ketinggalan menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut.
“Tahniah pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei, atas kejayaan membanggakan di pentas Kejohanan Dunia BWF.
“Dengan semangat, fokus dan kerja berpasukan, mereka berjaya mengalahkan pasangan nombor dua dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China, untuk membawa pulang gelaran juara dunia,” katanya.
Beliau menambah, inilah detik terindah yang memberi inspirasi kepada negara dan hadiah terbaik pada Hari Merdeka.
“Malaysia berbangga dengan anda, Tang Jie dan Ee Wei,” ujarnya.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin pula berpendapat, kejayaan Tang Jie–Ee Wei menjadi bukti bahawa apabila rakyat Malaysia melangkah bersama dengan tekad dan semangat juara, negara ini mampu menggegar dunia.
Beliau berkata, kejayaan itu lebih bermakna apabila pasangan beregu tersebut menyempurnakan tugasan demi negara ketika menyambut kemerdekaan ke-68.
“Tahniah kepada pasangan sensasi badminton negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei, yang mencipta sejarah menjadi pasangan beregu campuran pertama Malaysia muncul juara dunia dalam Kejohanan Badminton Dunia 2025 sebentar tadi.
“Sesungguhnya, sukan sentiasa menjadi jambatan yang merapatkan hati kita semua sebagai sebuah bangsa. Sekali lagi syabas dan tahniah buat Tang Jie–Ee Wei serta seluruh skuad badminton negara,” jelasnya.