Peminat bola sepak berang tiket final Piala Dunia cecah RM17,144

Peminat bola sepak berang tiket final Piala Dunia cecah RM17,144


PEMINAT bola sepak dunia meluahkan rasa berang dan menuduh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) melakukan pengkhianatan besar selepas terdedah bahawa tiket paling murah untuk aksi perlawanan akhir Piala Dunia 2026 berharga mencecah £3,120 (kira-kira RM17,144).

Malah, penyokong England terpaksa berputih mata apabila perlu mengeluarkan sekurang-kurangnya £200 (RM1,098) hanya untuk menyaksikan skuad kendalian Thomas Tuchel menentang Croatia dalam aksi pembukaan kumpulan mereka.

Harga tersebut adalah untuk tempat duduk kategori ‘nilai’ (value tier) di stadium berkapasiti 100,000 penonton di Dallas.

Bagi tiket kategori ‘standard’, harganya mencecah £373 (RM2,049), manakala tiket ‘premier’ pula diletakkan pada harga yang tidak masuk akal iaitu £523 (RM2,868) hanya untuk satu perlawanan peringkat kumpulan.

Angka-angka ini adalah untuk tiket yang dibeli melalui ‘peruntukan ahli peserta’ (PMA), atau dengan kata lain penyokong yang mendapatkan tiket menerusi kelab penyokong rasmi.

Pendedahan mengenai skala harga tiket PMA ini telah mencetuskan kemarahan kumpulan penyokong di seluruh dunia.

Badan penyokong, Football Supporters Europe (FSE) mendedahkan bahawa berdasarkan maklumat yang diterima setakat ini, peminat perlu membelanjakan lebih £6,000 (RM32,969) untuk menghadiri setiap perlawanan dari aksi pertama hingga ke final melalui peruntukan PMA.

Jumlah ini adalah lima kali ganda lebih tinggi berbanding kos yang perlu dibayar ketika Piala Dunia Qatar 2022.

“FSE terkejut dengan harga tiket melampau yang dikenakan oleh FIFA ke atas penyokong paling setia untuk Piala Dunia tahun depan.

“Ini adalah satu pengkhianatan besar terhadap tradisi Piala Dunia, malah ia mengenepikan sumbangan penyokong yang memeriahkan sukan ini,” menurut kenyataan tegas badan tersebut.

FSE turut mendesak FIFA supaya menghentikan jualan tiket PMA serta-merta dan mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terjejas untuk mengkaji semula harga tiket.

Kumpulan penyokong England, Free Lions menerusi hantaran di laman X menyokong kenyataan FSE dan menyifatkan harga tersebut sebagai mengejutkan dan jauh lebih tinggi daripada jangkaan.

“Ini tidak boleh dibiarkan berlaku. Penonton di seluruh dunia berhak mendapat perlindungan daripada harga cekik darah’sebegini,” tambah kenyataan kumpulan itu.

Untuk rekod, tiket bagi perlawanan kumpulan England menentang Panama dan Ghana bermula pada harga £134 (RM736).

Harga tiket paling murah untuk pusingan 32 dan 16 pasukan terakhir pula masing-masing bermula pada £175 (RM961) dan £200 (RM1,098).

Bagi aksi suku akhir melibatkan England, tiket paling rendah adalah £508 (RM2,791), diikuti £687 (RM3,775) untuk tempat duduk separuh akhir.

Ringkasan AI

  • PEMINAT bola sepak dunia berang dengan FIFA kerana harga tiket Piala Dunia 2026 yang sangat tinggi
  • Penyokong England perlu bayar sekurang-kurangnya RM1,098 untuk menonton perlawanan
  • Harga tiket melalui peruntukan ahli peserta mencapai kira-kira RM32,969 untuk menghadiri semua perlawanan hingga final
  • FSE menuduh FIFA mengkhianati tradisi Piala Dunia dan mengabaikan sumbangan penyokong
  • FSE dan kumpulan penyokong England mendesak FIFA menghentikan jualan tiket dan mengkaji semula harga tiket



Source link

OR

Scroll to Top