Peminat bola sepak seluruh dunia bersatu gesa boikot Israel

Peminat bola sepak seluruh dunia bersatu gesa boikot Israel


PEMINAT bola sepak di seluruh dunia bersatu dalam gerakan mengibarkan sepanduk dan mengangkat kad merah sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin serta gesaan supaya Israel digantung daripada semua perlawanan antarabangsa.

Protes ini bermula ketika perlawanan Liga Juara-Juara antara Celtic FC dan Bayern Munich pada 12 Februari lalu dan kini telah menginspirasi demonstrasi serupa di Itali, Sepanyol, Perancis, Greece, Ireland, Turkiye dan Malaysia.

“Pada permulaan separuh masa kedua, sila kibarkan sepanduk ‘kad merah untuk Israel’ bagi menghantar mesej kepada UEFA dan FIFA supaya menggantung Israel daripada semua perlawanan,” kata kumpulan ultras Green Brigade dari Celtic FC yang menggerakkan kempen tersebut.

Beberapa hari kemudian di Sepanyol, penyokong Osasuna mempamerkan sepanduk bertulis ‘tunjukkan Israel kad merah’ bersama bendera Palestin ketika perlawanan La Liga menentang Real Madrid.

Di Greece, penyokong Aris Thessaloniki turut mengibarkan sepanduk dengan slogan serupa serta bendera Palestin, manakala peminat Galatasaray dan Bursaspor di Turkiye juga menyuarakan sokongan terhadap kempen anjuran Green Brigade itu.

“Kami bangga berdiri bersama penyokong di seluruh dunia yang memperjuangkan keamanan dan keadilan… Bola sepak seharusnya menyatukan manusia, bukan menjadi platform penindasan,” ujar penyokong Bursaspor.

Tidak terkecuali di Malaysia apabila pasukan bola sepak Terengganu FC turut sama menyokong kempen tersebut dan mengibarkan sepanduk pada perlawanan Liga Super menentang Kuching City baru-baru ini.

Menurut Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA), sejak serangan Israel ke atas Gaza bermula pada Oktober 2023, sekurang-kurangnya 724 atlet Palestin termasuk 382 pemain bola sepak, telah terbunuh.

Usaha untuk mengharamkan Israel daripada kejohanan bola sepak antarabangsa bukanlah perkara baharu. Pada 2013, kempen “Red Card Israeli Racism” dilancarkan di Eropah bagi mendesak pemulauan sukan terhadap Israel semasa kejohanan UEFA.

Pada Januari 2023, Persekutuan Bola Sepak Asia Barat yang dianggotai 12 persatuan turut meminta FIFA untuk menggantung Israel daripada pertandingan bola sepak.

Kempen global yang dipimpin oleh gerakan Boikot, Pelaburan dan Sekatan (BDS) turut memberi kesan apabila syarikat sukan antarabangsa, Puma, menamatkan tajaan mereka dengan Persatuan Bola Sepak Israel (IFA) pada Disember 2024.

Mei lalu, PFA sekali lagi menggesa FIFA untuk menggantung IFA atas dasar pelanggaran undang-undang antarabangsa serta diskriminasi terhadap pemain Arab.

Bagaimanapun, FIFA tidak mengenakan sebarang penggantungan tetapi sebaliknya mengarahkan siasatan disiplin terhadap dakwaan tersebut.



Source link

OR

Scroll to Top