Peminat desak Arsenal jual Martinelli

Peminat desak Arsenal jual Martinelli


PRESTASI Gabriel Martinelli yang terus merosot sepanjang aksi pramusim mencetuskan gelombang kritikan dalam kalangan penyokong Arsenal, yang kini mendesak agar kelab itu mencari pengganti sebenar di posisi sayap kiri.

Dalam perlawanan pramusim menentang Tottenham Hotspur di Hong Kong pada Khamis, Martinelli sekali lagi gagal menyerlah meskipun diturunkan dalam kesebelasan utama.

Pemain Brazil itu dilihat kurang kreatif di sepertiga akhir padang dan sering kehilangan arah ketika berdepan pertahanan lawan.

Lebih mengecewakan, ramai penyokong berpendapat Martinelli tidak lagi menampilkan kualiti seperti musim 2022/23, yang ketika itu dianggap antara pemain paling efektif di jentera serangan The Gunners.

“Martinelli kelihatan benar-benar hambar dalam tiga aksi pramusim. Dia bukan lagi pemain yang kita lihat dua musim lalu,” kata seorang peminat tegar di platform X, merujuk kepada betapa lemahnya impak Martinelli ketika menentang pasukan dengan sistem blok rendah.

Tinjauan dalam kalangan penyokong juga mendapati ramai kini hilang keyakinan terhadap keupayaan Martinelli untuk memimpin bahagian kiri serangan Arsenal.

Sebahagian besar mencadangkan agar kelab mendapatkan pemain yang lebih tajam dan sukar dikekang dalam situasi satu lawan satu.

Nama Rafael Leao dari AC Milan muncul sebagai calon utama dalam kalangan penyokong yang mahukan revolusi di bahagian sayap.

Mereka melihat pemain Portugal itu sebagai pilihan yang lebih ideal berbanding sasaran lain seperti Eberechi Eze.

“Kalau Arteta mahu baiki sayap kiri musim ini, dia tiada pilihan selain bawa masuk pemain yang benar-benar dominan.

“Leao adalah jawapannya,” tulis seorang lagi penyokong yang menyatakan kekecewaan terhadap prestasi Martinelli.

 

 



Source link

OR

Scroll to Top