Peminat, keluarga beri penghormatan kepada 'Pele Palestin'

Peminat, keluarga beri penghormatan kepada 'Pele Palestin'


Gaza City: Pemain yang dilabel ‘Pele’ bola sepak Palestin berharap dapat terus menjaringkan gol sehingga usia 50 tahun.

Namun, impian itu berakhir sedekad lebih awal apabila satu peluru kereta kebal Israel meragut nyawa Suleiman al-Obeid yang sedang beratur di selatan Gaza untuk mengambil makanan, minggu ini, kata keluarganya.

Balunya, Doaa al-Obeid, kini hanya mampu memegang seluar pendek bernombor 10 berwarna biru dan putih yang pernah dipakai suaminya untuk kelab Gaza, Al-Shati iaitu antara satu-satunya kenangan yang masih tinggal, sambil beliau dan lima anaknya meratapi pemergian penyerang prolifik berusia 41 tahun itu.

“Ini adalah perkara paling berharga yang ditinggalkannya,” katanya.

Keluarga itu tidak mempunyai banyak lagi harta peninggalan Obeid kerana rumah mereka musnah akibat pengeboman awal tahun ini.

Kini mereka tinggal di sebuah khemah di tengah-tengah runtuhan kejiranan di Kota Gaza.

Obeid, yang digelar peminat sebagai setanding legenda Brazil, Pele, kerana kemahiran dan kebolehannya menjaringkan gol, menjadi tumpuan minggu ini selepas penyerang Liverpool, Mohamed Salah, mengkritik kenyataan penghormatan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang tidak menyatakan punca kematiannya.

“Boleh beritahu kami bagaimana dia meninggal, di mana, dan mengapa?” tulis Salah.

Persatuan Bola Sepak Palestin berkata, Obeid terbunuh dalam serangan tentera Israel di selatan Gaza ketika menunggu untuk mengambil bantuan di pusat agihan.

Keluarganya berkata, peluru kereta kebal telah membunuhnya.

Sebagai respons kepada hantaran Salah di X, jurucakap tentera Israel, Nadav Shoshani, berkata: “Hai Mohamed, selepas semakan awal, kami tidak menemui sebarang rekod insiden membabitkan Suleiman al-Obeid.

“Untuk membuat semakan lebih lanjut, kami memerlukan maklumat tambahan.”

Obeid yang pernah bermain untuk pasukan kebangsaan Palestin, masih beraksi untuk kelabnya di Gaza ketika perang antara Israel dan Hamas meletus pada Oktober 2023.

Hamas menyerang bandar dan kampung Israel, membunuh lebih 1,200 orang.

Sebagai tindak balas, Israel memusnahkan Semenanjung Gaza iaitu sebuah wilayah pesisir yang menempatkan lebih dua juta penduduk dan membunuh sekitar 61,000 penduduk Palestin.

Kebanyakan mereka terkorban akibat serangan udara, bedilan artileri dan tembakan, namun semakin ramai mati akibat kebuluran.

Obeid terus bermain walaupun dalam kesusahan, kata balunya Doaa.

“Dia pergi berlatih setiap hari dan tidak pernah berhenti, walau sehari pun. Walaupun semasa krisis perang di tengah-tengah roket, pengeboman dan pembunuhan beramai-ramai, dia tetap pergi bermain. Dia akan mengumpulkan rakan dan orang tersayangnya untuk bermain bersama,” katanya.

Persatuan Bolasepak Palestin berkata, ratusan atlet dan pegawai sukan antara yang terbunuh akibat serangan Israel dengan kebanyakan kemudahan sukan kini musnah.

Peminat bola sepak Palestin berkata mereka mahu menumpukan perhatian kepada legasi Obeid, bukan kematiannya yang tragis.

“Kanak-kanak memanggilnya Henry dan Pele Palestin,” kata Hassan al-Balawi, seorang tukang gunting rambut di Kota Gaza, merujuk juga kepada legenda Perancis, Thierry Henry.

“Pemain ini seperti rusa iaitu apabila kami melangkah ke padang, kami menikmati saat menontonnya. Semua peminat bola sepak Palestin menikmati aksi Kapten Suleiman al-Obeid.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top