Peminat sanggup datang bazar, beri hadiah pada Sophia Albarakbah

Peminat sanggup datang bazar, beri hadiah pada Sophia Albarakbah


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Pelakon, Sophia Albarakbah meluahkan rasa syukur dan tidak menyangka perniagaan air kelapa yang diusahakannya di Bazar Ramadan Stadium Merdeka mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Sophia, 33, berkata, meskipun jumlah pengunjung pada hari pertama agak sederhana, namun keadaan menjadi semakin sesak terutamanya pada hujung minggu.

“Alhamdulillah, sambutan sangat menggalakkan. Hari pertama ‘crowd’ biasa-biasa sahaja, tetapi makin lama makin ramai yang datang menyokong. Saya sangat bersyukur kerana ramai yang menyukai air kelapa yang dijual,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Sophia, dia terharu apabila terdapat peminat yang sanggup datang dari jauh termasuk dari Pulau Pinang, Seremban dan Kelantan semata-mata mahu bertemu dan memberikan hadiah buatnya.

“Ada yang memang datang untuk beli dan ada juga yang terjumpa secara tidak sengaja ketika sedang membeli-belah.

“Paling penting bagi saya, mereka hadir untuk menyokong perniagaan ini. Saya hargai setiap orang yang singgah, sama ada untuk membeli atau sekadar menyapa,” katanya lagi.

Berkongsi momen yang tidak dapat dilupakan sepanjang menjual air kelapa di bazar, pelakon drama Bisik Asmara ini berkata, bahawa dia tersentuh apabila melihat pelanggan sanggup beratur panjang demi merasai air kelapa hasil air tangannya sendiri.

“Momen paling saya takkan lupa adalah apabila pelanggan datang semula dan beritahu air kelapa yang dibeli semalam sedap.

“Malah, saya sangat terharu apabila ada peminat yang sanggup belikan makanan untuk saya berbuka puasa kerana nampak saya masih belum sempat makan,” kongsinya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Sophia tidak menolak untuk mengembangkan lagi menu perniagaannya di bazar Ramadan pada tahun depan.

Selain air kelapa, Sophia turut menjual kek pisang dan ‘cheese cake’ yang dibuat bersama adik-beradiknya dalam kuantiti yang sangat terhad.

“Insya Allah, saya ada perancangan untuk tambah pilihan minuman atau makanan ringan. Sekarang pun kek yang saya jual selalu ‘sold out’.

“Tetapi buat masa sekarang, saya fokus untuk pastikan kualiti air kelapa kami kekal terbaik dahulu,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top