Miki (kanan) diisytiharkan pemenang pingat emas kategori 57 kilogram Muay Thai selepas menewaskan Suphakon Sirilun pada Sukan SEA Thailand 2025 di Stadium Lumpinee, Bangkok pada Rabu. Foto Bernama
KEJAYAAN Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar meraih pingat emas acara Muay Thai lelaki 57 kilogram (kg) di Sukan SEA Thailand 2025 bukan sahaja mencuri perhatian dari sudut prestasi, malah turut mencetuskan fenomena luar gelanggang apabila penampilannya menjadi bualan hangat dalam kalangan netizen, khususnya peminat tuan rumah.
Selepas Mikail atau mesra disapa Miki menewaskan wakil Thailand, Suphakon Sirilun di Stadium Tinju Lumpinee, Bangkok pada Rabu ruangan komen di media sosial Persekutuan Muay Thai, siaran langsung kejohanan serta klip kemenangan atlet berusia 16 tahun itu dibanjiri reaksi positif daripada peminat Thailand.
Antara komen yang tular menyifatkan Miki sebagai “handsome fighter”, “comel tapi berbahaya” dan “future star”, malah ada yang berseloroh menyatakan kekalahan Suphakon “diterima dengan hati terbuka” kerana tewas kepada atlet muda yang memiliki pakej lengkap iaitu berbakat, berdisiplin dan berkarisma.

Miki (kanan) beraksi menentang Suphakon Sirilun pada perlawanan akhir kategori 57 kilogram Muay Thai. Foto Bernama
Tidak kurang juga netizen Thailand memuji ketenangan Miki beraksi di hadapan ribuan penyokong tuan rumah, menyifatkan mentalitinya sebagai luar biasa bagi seorang atlet remaja.
Malah ada yang memuji gaya bertarung kemas dan berani yang dipamerkan Miki sepanjang perlawanan final biar pun ini adalah kali pertama dia beraksi di pentas Sukan SEA.
Fenomena itu menambah warna kepada kejayaan Miki yang merupakan adik kepada bintang Muay Thai negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai antara prospek besar Muay Thai Asia Tenggara.
Pingat emas tersebut turut menjadi antara sumbangan penting Malaysia dalam kempen Muay Thai di Sukan SEA kali ini, sekali gus membuktikan Miki bukan sahaja menawan emas, malah turut menawan hati peminat sukan serantau.
Ringkasan AI
- Kejayaan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar meraih pingat emas acara Muay Thai lelaki 57 kilogram di Sukan SEA Thailand 2025
- Penampilannya mencetuskan fenomena dan menjadi bualan hangat netizen terutamanya peminat tuan rumah setelah menewaskan Suphakon Sirilun
- Komen positif daripada peminat termasuk memuji beliau sebagai “handsome fighter”, “comel tapi berbahaya” dan “future star”
- Ketenangan dan mentalitinya di hadapan ribuan penyokong tuan rumah serta gaya bertarung dipuji meskipun ini kali pertama beraksi di Sukan SEA
- Menambah warna kepada kejayaan keluarganya dalam Muay Thai dan menyumbang kepada Malaysia dalam kempen Muay Thai di Sukan SEA






