Peminat tunggu transformasi bola sepak, bukan drama politik dalaman FAM – Pekan

Peminat tunggu transformasi bola sepak, bukan drama politik dalaman FAM – Pekan


mohdsyazwan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perubahan kepada pucuk pimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kembali menjadi bualan hangat apabila timbul desas-desus jawatan presiden bakal bertukar tangan dalam masa terdekat.

Sebelum ini, bertiup kencang mengenai perubahan jawatan presiden yang ketika ini disandang Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub dengan kerusi nombor satu itu mungkin ada dipangku Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi jika proses peralihan kuasa berlangsung lebih awal daripada jangkaan.

Pemerhati sukan tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan keadaan itu sesuatu yang tidak sihat dan boleh menjejaskan kredibiliti badan induk bola sepak negara itu.

“Apabila ada spekulasi presiden yang baru dilantik akan digantikan, ia seolah-olah menggambarkan FAM dikawal pihak tertentu.

“Sedangkan netizen dan peminat bola sepak sebenarnya menunggu transformasi, bukan drama politik dalaman,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menurutnya, persoalan timbul kerana Mohd Joehari baru sahaja dipilih Februari lalu dan tidak sampai setahun sudah dikatakan bakal digugurkan.

“Apa sebenarnya berlaku? Adakah beliau dipecat atau disingkirkan? Kalau betul, ia memberi gambaran buruk terhadap pengurusan bola sepak tanah air.

“Sekiranya benar berlaku rombakan, ia membuktikan ahli gabungan tidak konsisten dengan keputusan mereka sendiri.

“Mereka yang memilih presiden itu beberapa bulan lalu, kini membiarkan pula beliau diketepikan. Adakah ini benar-benar kehendak mereka atau ada pihak lain yang merancang?

“Kalau ini kehendak ahli gabungan, saya anggap ia tindakan tidak bertanggungjawab. Mereka patut malu kerana mempermainkan mandat yang baru diberikan,” katanya.

Beliau menegaskan, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh perlu menegur situasi ini kerana ia mencalarkan imej persatuan kebangsaan.

“Bola sepak bukan milik FAM semata-mata, ia juga milik rakyat dan penyokong.

“Justeru, setiap keputusan melibatkan pucuk pimpinan perlu menghormati perasaan mereka,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top