Sering menjadi tumpuan dek kerana penampilannya yang semakin segak malah lakonannya yang mantap menjadikan pelakon popular, Hisyam Hamid sering mencuri perhatian.
Justeru, tidak hairanlah jika ada peminat yang bertindak terlalu obses terhadap aktor tersebut sehingga sanggup menyunting foto miliknya bersama Hisyam seolah-olah mereka adalah pasangan suami isteri.


Menyedari perkara itu, pemilik nama lengkap Hazmi Hisyam Abdul Hamid, 40, menegaskan, dia tidak mengambil pusing mengenai perkara itu selagi individu tersebut tidak melanggar etika atau bersikap keterlaluan.
“Masih ada ye? Saya perasan je benda tu.
“Dia macam ni, mungkin ada posting tu yang saya rasa saya kurang senang sikit. Agak sensitif sikit.
“Tapi saya anggap dia macam she is just another fan yang support kita. Selagi dia tidak melanggar undang-undang atau etika atau keterlaluan untuk saya dan keluarga saya.
“Saya rasa… saya okay sahaja. Saya anggap dia sebagai seorang peminat,” katanya.
Hisyam berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Tayangan Perdana Saat Aku Tahu yang diadakan di Kuala Lumpur pada, Rabu.
Jelasnya, dia bagaimanapun tidak berniat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu wanita berkenaan meskipun ramai peminat memintanya untuk berbuat demikian.
“Ramai yang minta saya ambil tindakan tapi pada saya selagi dia tidak cross the line saya okay sahaja,” jelasnya.
Terdahulu, individu wanita terbabit turut memaklumkan, dia adalah bakal isteri baru kepada aktor itu menerusi perkongsian di ruangan bio akaun Instagram miliknya.




