harisfadli@hmetro.com.my
Ampang: Seorang usahawan dan juga pempengaruh media sosial dikompaun kerana menjual piza wagyu tanpa lesen menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah, di sini, kelmarin.
Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dalam satu hantaran di Facebook berkata, tindakan itu diambil berikutan aktiviti penjualan tanpa lesen itu mengakibatkan gangguan awam.
Menurutnya, satu kompaun dikeluarkan mengikut peruntukan Undang-Undang Kecil MPAJ 2007 bagi memastikan keselamatan dan keselesaan penduduk terjamin
“MPAJ sentiasa menyokong inisiatif pembangunan usahawan tempatan sebagai pemacu ekonomi komuniti.
“Namun demikian, kami amat berharap agar semua pihak dapat mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan demi menjaga keharmonian bersama, “kata hantaran itu.
Dalam hantaran sama MPAJ berkata, satu sesi pertemuan diatur dengan pihak berkaitan bagi membincangkan jalan penyelesaian terbaik agar kegiatan menjaja tanpa lesen tidak berulang.
MPAJ berkata pihaknya beriltizam untuk terus memperkukuh kerjasama dengan seluruh komuniti dalam usaha membina sebuah persekitaran yang lebih selamat, teratur dan sejahtera untuk semua.
© New Straits Times Press (M) Bhd