Pemuda kerdil meninggal dunia akibat komplikasi jantung

Pemuda kerdil meninggal dunia akibat komplikasi jantung

Pemuda kerdil meninggal dunia akibat komplikasi jantung


am@hmetro.com.my

Kuantan: Selepas ditidurkan selama tiga hari, pemuda kerdil Mohd Zulhanif Abd Halim, 26, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, pada 10.15 pagi, hari ini.

Bapanya, Abd Halim Sulaiman, 49, berkata, anaknya meninggal dunia akibat komplikasi jantung selepas empat hari dirawat di HTAA.

“Keadaan arwah sebelum ini tidak terlalu kritikal ketika (awal) dirawat di HTAA. Dia masih boleh bercakap serta makan, cuma malam kelmarin, arwah ditidurkan kerana bacaan oksigen terlalu rendah disebabkan komplikasi jantung serius hingga wajahnya kebiruan.

“Keadaan arwah terlalu lemah disebabkan sukar bernafas kerana saluran pernafasan terlalu kecil dan mungkin tersumbat, (jadi) pembedahan tidak mungkin dapat dilakukan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Abd Halim berkata, sebelum anaknya ditidurkan dia sempat menyuapkan anaknya makan dan berbual seketika.

“Saya dan isteri reda kehilangan anak tersayang kami. Pada April tahun lalu, kami sudah kehilangan adik Mohd Zulhanif, Zurin Hazlien yang juga kerdil.

“Mereka berdua penyeri rumah tangga kami, kini mereka yang meninggalkan kami. Kehilangan yang terlalu sukar untuk diterima setahun dua ini,” katanya yang memaklumkan Mohd Zulhanif sudah tidak sihat sejak tiga bulan lalu.

Jenazah Mohd Zulhanif akan dibawa ke Masjid Sungai Miang untuk diuruskan sebelum dikebumikan di sebelah kubur adiknya di Tanah Perkuburan Islam Sungai Miang.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top