Pemuda maut, empat parah motosikal bergesel

Pemuda maut, empat parah motosikal bergesel


KOTA BHARU: Seorang pemuda maut manakala empat lagi parah selepas motosikal yang ditunggang bergesel sesama sendiri dalam di kilometer 12.4 Lebuh Raya Rakyat Ketereh-Kota Bharu di sini malam tadi.

Dalam kejadian pukul 11.55 malam lelaki yang berusia 20-an maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan melibatkan lima buah motosikal pada pukul 12.50 tengah malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati semsa kejadian mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC dari arah Ketereh menghala ke Kota Bharu secara berkumpulan melalui Lebuh Raya Rakyat.

“Setiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai telah hilang kawalan lalu bergesel dengan motosikal yang lain. Pergeseran itu  menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh di atas jalan raya. 

“Pada masa sama, tiga lagi penunggang motosikal yang datang dari arah sama tidak sempat mengelak lalu melanggar dua buah motosikal lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Rosdi memberitahu, mangsa yang meninggal dunia telah dibawa ke Hospital Pakar USM Kubang Kerian untuk bedah siasat.

Katanya, empat lagi penunggang motosikal parah di bawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu untuk rawatan lanjut.

“Kes ini disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top