Pemuda Pakatan Harapan (PH) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor susulan kenyataannya yang didakwa berbaur perkauman dan berpotensi memecahbelahkan keharmonian masyarakat.
Orang India ada India, orang Cina ada China…
Gesaan itu dibuat selepas Sanusi dalam satu ceramah menyatakan bahawa orang Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu, manakala kaum lain mempunyai negara asal masing-masing.
“Melayu tak ada dah tanah. Melayu ada Tanah Melayu ini saja. Orang India ada India, orang Cina ada China, orang Kamboja ada Kamboja, orang Siam ada Thailand. Melayu di mana? Melayu di sini saja,” katanya ketika berucap di Jempol.
Pihak berkuasa perlu bertindak segera
Memetik laporan daripada Malaysiakini, Ketua Pemuda PH, Woo Kah Leong menyatakan pihak berkuasa perlu bertindak segera bagi mengelakkan kenyataan sedemikian terus mencetuskan ketegangan antara kaum.
“Pihak PDRM wajib mengambil langkah segera untuk mengekang kenyataan sedemikian dan mengambil tindakan penguatkuasaan serta undang-undang terhadap pemimpin sedemikian yang memang berupaya untuk memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara kita,” katanya.

Tanah air kita adalah Malaysia
Dalam masa sama, Woo turut mengkritik parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang didakwa berdiam diri berhubung isu tersebut serta menegaskan semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum berkongsi tanah air yang sama.
“Warganegara Malaysia berbangsa Cina mungkin mampu bertutur Bahasa Cina seperti penduduk China.
“Warganegara Malaysia berbangsa India mungkin pandai bercakap dalam Bahasa Tamil seperti penduduk negara India. Namun ini adalah tidak berkait langsung dengan negara China dan India.
“Tanah air kita adalah Malaysia, bukannya negara lain seperti yang dituduh puak ‘Perikatan-Barisan-Nasional’ (PBN),” katanya.







