Penaja baharu tampil bantu kantung KLFA

Penaja baharu tampil bantu kantung KLFA


Syed Yazid (gambar kecil) mengotakan janjinya apabila membawa masuk penaja baharu untuk bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

SYED Yazid Syed Omar mengotakan janjinya apabila membawa masuk penaja baharu untuk bersama Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Beliau berkata, penaja dari sektor swasta itu bersedia menjadi rakan strategik persatuan menerusi tawaran tajaan antara RM4 hingga RM5 juta.

Tambahnya, kerjasama tersebut dijangka berlarutan sehingga akhir musim ini iaitu pada April 2025.

“Alhamdulillah, sudah ada pihak ingin bersama kita menerusi tajaan antara RM4 hingga RM5 juta.

“Kerjasama ini adalah untuk tempoh sehingga akhir musim ini,” katanya kepada Sukan Sinar.

Syed Yazid dipilih menerajui KLFA selepas mengenepikan pesaingnya iaitu pemangku presiden, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid pada Kongres ke-35 persatuan itu pada 12 Oktober lalu.

Malah khabar gembira juga buat pemain Kuala Lumpur (KL) City FC apabila tunggakan gaji selama sebulan dijangka dibayar pada Selasa.

Syed Yazid berkata, bayaran yang melibatkan gaji Oktober itu sudah dibayar pada Khamis lalu, namun terdapat masalah teknikal di pihak bank sehingga berlaku sedikit kelewatan.

“Saya sudah berbincang dengan para pemain bahawa mereka akan memperoleh gaji secara konsisten bermula Oktober.

“Tunggakan gaji sebelum saya mengambil alih KLFA (sebagai presiden) pula akan dibayar secara berperingkat sehingga selesai,” katanya.

KLFA ketika ini berkolaborasi dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi tajaan berjumlah RM5 juta untuk semusim.



Source link

OR

Scroll to Top