Penaja Liga-M tak lari

Penaja Liga-M tak lari


MFL mengesahkan penaja masih yakin dengan perjalanan Liga-M. – Foto: Bernama

PENAJA saingan Liga Malaysia (Liga-M) masih kekal memberikan sokongan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) meskipun meskipun arena bola sepak negara terpalit dengan kontroversi isu pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain Harimau Malaya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, maklum balas yang diterima daripada penaja menunjukkan keyakinan mereka terhadap perjalanan Liga-M masih kekal positif.

“Daripada pihak MFL, kita baru sahaja mengadakan majlis berbuka puasa bersama penaja-penaja. Alhamdulillah, maklum balas yang diterima amat positif dan mereka masih bersama-sama dengan kita.

“Melalui sesi iftar tersebut, semua penaja memberikan keyakinan untuk terus bersama MFL,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa setakat ini MFL tidak melihat sebarang impak besar terhadap perjalanan Liga-M susulan isu yang melanda bola sepak negara.

Pada masa sama, sambutan penyokong terhadap perlawanan domestik juga masih memberangsangkan, khususnya bagi aksi separuh akhir Piala Malaysia dan Piala Cabaran.

“Buat masa ini kita tidak merasakan ada impak besar kepada MFL. Apa yang kita lihat juga perlawanan-perlawanan seperti separuh akhir Piala Malaysia dan Piala Cabaran mendapat sambutan yang begitu baik daripada peminat tempatan.

“Jadi kita merasakan Liga-M masih berada di landasan yang tepat,” ujarnya.

Sebelum ini, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada Khamis sebahagiannya menerima rayuan tujuh pemain Harimau Malaya terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung kes pemalsuan dokumen naturalisasi dan kelayakan.

Dalam keputusan operasi yang dikeluarkan tanpa alasan terperinci, CAS memutuskan ketujuh-tujuh pemain berkenaan masih dikenakan penggantungan selama 12 bulan.

Bagaimanapun, larangan itu kini hanya terpakai kepada perlawanan rasmi dan tidak melibatkan semua aktiviti berkaitan bola sepak.

CAS turut mengekalkan denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) yang dikenakan terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan menyifatkan hukuman tersebut sebagai wajar serta seimbang.

Ringkasan AI

  • Penaja Liga Malaysia (Liga-M) masih memberikan sokongan kepada MFL meskipun ada isu pemalsuan dokumen pemain
  • Maklum balas dari penaja positif dan mereka beri keyakinan untuk terus bersama MFL
  • Impak isu pemalsuan dokumen terhadap Liga-M tidak besar dan penyokong masih beri sambutan baik
  • Sambutan baik terhadap perlawanan domestik seperti separuh akhir Piala Malaysia dan Piala Cabaran
  • CAS kekal hukuman penggantungan 12 bulan kepada tujuh pemain Harimau Malaya tetapi hanya untuk perlawanan rasmi, dan mengenakan denda kepada FAM



Source link

OR

Scroll to Top