Messi gagal menyempurnakan penalti ketika menentang Charlotte FC. Foto AFP
LIONEL Messi menjadi tumpuan di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Inter Miami tewas mengejut 0-3 kepada Charlotte dalam saingan MLS.
Messi yang dianggap ramai sebagai pemain terhebat sepanjang zaman dengan koleksi lapan Ballon d’Or serta pelbagai kejuaraan utama, tampil hambar dalam perlawanan di North Carolina itu.
Inter Miami sepatutnya berpeluang membuka jaringan pada minit ke-30 selepas pengadil memberikan sepakan penalti hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
Messi tampil mengambil sepakan tersebut, namun cubaan ala Panenka yang dilakukannya gagal apabila mudah dibaca penjaga gol Charlotte, Kristijan Kahlina.
Kekecewaan itu menjadi titik tolak kejatuhan skuad kendalian Javier Mascherano apabila Idan Toklomati meledak hatrik, selain Tomas Aviles pula dilayangkan kad kuning kedua sekali gus menambah derita Miami.
Kegagalan Messi itu turut mencetuskan kemarahan penyokong di media sosial.
Ramai yang mengkritik keputusan bintang Argentina itu mengambil sepakan penalti secara sambil lewa.
“Tak semudah itu nak ambil penalti sekarang kan?” kata salah seorang pengguna media sosial.
“Ia satu percubaan yang teruk dari Messi,” kata salah seorang lagi pengguna media sosial.
Ringkasan AI
- Lionel Messi menjadi tumpuan di media sosial selepas gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Inter Miami tewas 0-3 kepada Charlotte dalam saingan MLS
- Messi dianggap ramai sebagai pemain terhebat sepanjang zaman
- Inter Miami berpeluang membuka jaringan pada minit ke-30 selepas diberi sepakan penalti oleh VAR
- Sepakan penalti Messi yang dilakukan ala Panenka gagal dibaca oleh penjaga gol Charlotte, Kristijan Kahlina
- Kekecewaan penyokong di media sosial mencetuskan kritikan terhadap cara Messi mengambil sepakan penalti