Penamat ketiga setaraf juara EPL – Guardiola

Penamat ketiga setaraf juara EPL – Guardiola


PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola menyifatkan penamat di tangga ketiga Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini sebagai pencapaian setaraf kejuaraan, selepas pasukannya melalui musim penuh cabaran.

Guardiola memuji semangat juang pemain The Citizens yang tetap berusaha keras meskipun dibelenggu masalah kecederaan serta nasib malang sejak awal kempen.

“Ia seperti satu gelaran kerana segala rintangan yang kami hadapi. Apabila anda terus bergelut, anda boleh berakhir di tangga ke-10, 11, 12 atau 13.

“Itulah yang berlaku kepada banyak pasukan dalam EPL apabila tiba bulan November, Disember atau Januari, dan tidak lagi mampu bersaing untuk kejuaraan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Sesetengah orang mungkin berkata saya tidak mahu terus berjuang, cukup sekadar layak ke Liga Europa. Tapi kami tetap bermain dengan baik dan menamatkan saingan di tangga ketiga, sekali gus layak ke Liga Juara-Juara. Kami berjaya melakukannya,” katanya.

City menamatkan musim dengan kemenangan 2-0 ke atas Fulham hasil jaringan Ilkay Gundogan dan Erling Haaland di Stadium Craven Cottage pada Ahad, mengesahkan slot ke UCL musim depan.

Guardiola turut memberi bayangan akan berlaku perubahan dalam skuadnya musim depan dengan kehadiran beberapa muka baharu, namun menegaskan jumlah pemain utama akan dikurangkan.

Antara nama yang menjadi perhatian ialah Jack Grealish yang tidak disenaraikan dalam skuad ketika menentang Fulham mencetuskan spekulasi mengenai masa depannya bersama kelab.

Namun Guardiola menjelaskan keputusan itu bukan bersifat peribadi dan menafikan sebarang konflik.

“Siapa kata saya tidak gembira dengannya? Tiada masalah dengan mana-mana pemain. Saya yang berjuang untuk membawanya ke sini dan menyokong dia untuk kekal musim lalu.

“Dalam perlawanan terakhir enam pemain tidak disenaraikan, kali ini, lima. Ia keputusan taktikal kerana saiz skuad yang besar. Masa depan? Itu keputusan kelab, bukan saya,” jelasnya.



Source link

OR

Scroll to Top