Bekas isteri penyanyi, Nubhan iaitu Dr. Afifah Hidayah Ahmad Tawfek tampil memberi penjelasan susulan penampilannya ke mahkamah semalam menjadi perbualan netizen.
Menerusi ciapan di platform Threads miliknya, Dr. Afifah atau lebih mesra disapa Dr. Fie ini memohon maaf secara terbuka atas penampilannya yang dikatakan ringkas itu.
“Serious saya tak perasan. Di sini nak minta ampun banyak-banyak, dress up sekadarnya sahaja. Tak boleh nak pilih-pilih warna baju hari ini,” katanya.
Mengulas lebih lanjut, Dr. Fie mengakui dia terlalu fokus memikirkan prosiding kes sulh yang sedang dijalankan di mahkamah.
“Fikiran saya sebenarnya dalam keadaan yang tak berapa tenang tadi sebab saya terlalu sibuk memikirkan kes sulh dan membuat persediaan rapi takut ada yang terlepas pandang.
”Baju-baju semua masih dalam kotak, jadi saya pakai apa yang ada saja,” katanya.

Hal tersebut ekoran tindakan bekas suaminya, Nubhan yang didakwa telah mengeluarkan barang-barang peribadi Dr. Fie dari kediaman yang diduduki bersama anak-anak ketika dia sedang bercuti tanpa pengetahuannya.
Sekadar info, Dr. Fie dan Nubhan mendirikan rumah tangga pada 29 Ogos 2015, namun pasangan ini disahkan bercerai talak dua pada Disember lalu di Mahkamah Rendah Syariah Sepang, Selangor.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aafiya, 9, Ahmad Aafan, 7, dan Afzan Nayille, 4 tahun.





