Penampilan S*ksi & ‘Bertatu’ Dalam Foto Cover Single ‘Pernah Mati-Matian’, Syafeek Ikhwan Undang Kontroversi

Penampilan S*ksi & ‘Bertatu’ Dalam Foto Cover Single ‘Pernah Mati-Matian’, Syafeek Ikhwan Undang Kontroversi


Visual promosi lagu terbaharu penyanyi Syafeek Ikhwan yang memaparkan dirinya tanpa berbaju, bertatu dan berada dalam tab mandi mencetuskan tanda tanya ramai, malah ada yang menuduh dia sengaja berpenampilan seksi.

Tidak kurang yang menganggap ia sekadar gimik, namun Syafeek menegaskan konsep tersebut mempunyai makna tersendiri dan bukan dilakukan sembarangan.

Menurut Syafeek, visual itu mewakili fasa paling rapuh dalam hidupnya, ketika dirinya berada dalam keadaan mental dan emosi yang paling gelap.

“Apabila seseorang berada pada saat paling sukar, tiada apa lagi yang mampu disembunyikan. Visual itu adalah metafora kepada keadaan saya ketika itu. Ia memang perlu kelihatan raw dan jujur supaya orang betul-betul merasai maksud ‘Pernah Mati-Matian’,” jelasnya.

Syafeek menambah tatu yang kelihatan hanyalah elemen seni semata-mata dan bukannya tatu sebenar.

Katanya, pemilihan tab mandi juga mempunyai simbolik tersendiri kerana menggambarkan rasa tenggelam, hanyut dan hampir hilang identiti.

Malah, melodi lagu ini juga tercipta ketika dia mengasingkan diri dalam bilik air selama lebih tiga jam, menjadikan ruang itu sangat signifikan dengan karya tersebut.

Lagu Pernah Mati-Matian yang dilancarkan pada penghujung November lalu merupakan ciptaan penuh Syafeek sendiri. Ia lahir daripada kisah peribadi ketika dia cuba membantu seseorang yang sedang berdepan gangguan emosi.

Walaupun sudah berusaha sebaik mungkin menjadi sistem sokongan, akhirnya kehadirannya terpinggir apabila individu itu kembali pulih dan memilih haluan lain. Kisah itu diterjemahkan menjadi lagu yang bukan sahaja menyimpan luka, tetapi juga bertindak sebagai terapi.

Mengulas mengenai kecaman netizen, Syafeek kini lebih tenang dan matang berdepan pandangan orang ramai. Gambar promosi lagu tersebut kini meraih lebih 100,000 engagement di platform X, sesuatu yang dianggap petanda positif.

“Orang berhak memberi pandangan. Fokus saya hanyalah memastikan lagu ini sampai kepada pendengar. Dengan sokongan keluarga dan GengSyafeek, saya rasa lebih kuat hari ini,” katanya.

Buat masa ini, Syafeek memberi tumpuan kepada promosi audio sebelum visualiser penuh dilancarkan tidak lama lagi.

Walaupun terbuka untuk mengenali insan baharu, Syafeek mengakui kini lebih berhati-hati soal hubungan peribadi. Dia berharap Pernah Mati-Matian terus diberi peluang oleh pendengar kerana yakin genre galau masih mempunyai tempat yang kuat dalam industri muzik tempatan.

“Saya harap ramai yang dapat dengar walaupun sekali. Insya-Allah selepas itu ia akan jadi antara lagu kegemaran mereka,” katanya.





Source link

OR

Scroll to Top