Penang FC kenang jasa Rafael Vitor

Penang FC kenang jasa Rafael Vitor


Rafael Vitor – Foto: Penang FC

SELEPAS lima musim mencurah bakti di bumi Pulau Pinang, pemain pertahanan Penang FC, Rafael Vitor akhirnya menamatkan perjalanannya bersama pasukan Harimau Kumbang bagi musim 2025.

Pemain kelahiran Brazil itu menyertai Penang FC pada tahun 2020 dan sejak itu menjadi antara tonggak utama pasukan, bukan sahaja kerana kemampuan teknikalnya, malah semangat juang serta kesetiaannya terhadap kelab.

Sepanjang tempoh lima musim, Vitor berjaya mencatat 119 penampilan rasmi dalam pelbagai kejohanan, selain turut menyumbang 22 gol.

Namun, bagi penyokong setia Harimau Kumbang, lebih daripada sekadar angka, Vitor dikenang kerana komitmen tinggi, semangat luar biasa dan keberaniannya di padang yang menjadikannya antara pemain paling disayangi dalam sejarah kelab.

Penang FC dalam hantaran di laman Facebook rasminya menyifatkan Vitor bukan sahaja pemain, malah dia menjadi simbol kekuatan dan semangat Penang FC.

“Vitor adalah sebahagian daripada jiwa pasukan ini.

“Setiap kali Vitor turun ke padang, kelibatnya menjadi lambang semangat Harimau Kumbang, beraksi dengan penuh disiplin, tegas di posisi pertahanan dan tidak pernah berputus asa walau dalam apa jua situasi,” katanya.

Dalam pada itu, Penang FC turut mengucapkan terima kasih atas segala jasa dan kenangan yang ditinggalkan pemain import itu selama beraksi di negeri ini.



Source link

OR

Scroll to Top