PENANG FC berada di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau 24 tahun tanpa trofi apabila turun menentang Sabah FC dalam aksi final pertama Piala Cabaran 2025/2026 di Stadium Bandaraya, malam esok.
Kali terakhir Harimau Kumbang melangkah ke final kejohanan utama adalah pada 2002 yang menyaksikan skuad itu berjaya menjulang Piala FA buat julung kalinya selepas menewaskan Perak.
Ketua jurulatih, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, biarpun kehilangan tiga tonggak susulan penggantungan dan kecederaan, beliau tetap optimis anak buahnya akan menyajikan aksi terbaik di hadapan penyokong sendiri.
“Kita tidak dapat menggunakan khidmat Muhamad Adib Raop dan Nur Shamie Iszuan Amin kerana penggantungan, manakala Jose Elmer Porteria pula mengalami kecederaan jari kaki.
“Itu sahaja halangan, tetapi persiapan setakat ini lancar dan kita sudah merancang pengganti kepada ketiga-tiga pemain tersebut serta berharap mereka akan menggalas tugas dengan sempurna,” katanya pada sidang media praperlawanan akhir Piala Cabaran di Stadium Bandaraya, di sini hari ini.
Wan Rohaimi pada masa sama mengakui pasukan lawan yang juga naib juara Piala FA 2025/2026 memiliki kekuatan tersendiri dan pengalaman Sabah beraksi di pentas final merupakan satu kelebihan.
Beliau berkata, bagaimanapun pemain Harimau Kumbang tidak boleh gentar dengan tempoh persiapan hampir dua minggu selepas Aidilfitri dimanfaatkan sepenuhnya bagi memastikan pasukan berada pada tahap terbaik, selain mengekalkan momentum positif dalam empat perlawanan terakhir sebelum ini.
Ketua pasukan Penang FC, Stefano Brundo berkata, aksi final itu amat dinantikan lebih-lebih lagi selepas menunggu lebih dua dekad, namun mengingatkan rakan sepasukan agar kekal fokus dan tidak terlalu dibuai emosi, selain meneruskan prestasi konsisten yang dipamerkan kebelakangan ini.
Beliau turut menegaskan pasukan sudah melakukan persiapan terbaik meliputi semua aspek bagi menghadapi perlawanan ini, termasuk untuk mengekang kepantasan jentera serangan lawan serta kehadiran pemain import baharu.
“Sabah adalah pasukan yang hebat dengan banyak sejarah (kejayaan lepas), tetapi kami merasakan perlawanan akhir ini milik kami dan kami ingin menzahirkannya esok,” katanya.
Sementara itu, pengendali Sabah, Juan Torres Garrido menyifatkan pasukannya kini berada dalam situasi lebih baik selepas mendapat tempoh latihan yang mencukupi, sekali gus meningkatkan tahap kesiapsiagaan menjelang aksi final.
“Kali ini kami mempunyai tempoh mencukupi untuk berlatih, jadi saya fikir kami menghadapi cabaran dalam situasi yang lebih baik berbanding minggu-minggu sebelumnya. Sudah tentu, ini adalah aksi final, tetapi ia merupakan perlawanan akhir dua pusingan, jadi saya tidak merasakan esok akan menjadi penentu,” katanya.
Katanya, walaupun berdepan beberapa kekangan termasuk kehilangan beberapa pemain utama, Sabah tetap turun dengan keyakinan tinggi dan enggan menjadikannya sebagai alasan, sambil menegaskan misi utama mereka ke Pulau Pinang adalah untuk memburu kemenangan.
Keyakinan sama turut disuarakan kapten pasukan, Dominic Tan yang menegaskan apa sahaja boleh berlaku dalam final, namun Sabah berada dalam keadaan bersedia.
“Sudah tentu, Penang FC adalah pasukan yang bagus. Pada akhirnya, ini perlawanan akhir dan kami akan melakukan yang terbaik. Kami telah berlatih dengan bersungguh-sungguh dan membuat persediaan yang baik untuk perlawanan ini.
“Apa pun piala, perlawanan akhir tetap perlawanan akhir. Matlamat utama kami sudah tentu untuk menjulang Piala Cabaran,” katanya.






