KUALA Lumpur City FC (KL City) kini mengalihkan fokus sepenuhnya kepada perlawanan Liga Super menentang Penang FC yang disifatkan bakal menguji fizikal dan mental pemain The City Boys selepas dikejutkan 1-2 Perak FC di Cheras, 6 April lalu.
Malah, Pengendali KL City, Miroslav Kuljanac menegaskan bahawa The City Boys tidak mahu terlalu memikirkan perlawanan menentang Kelantan Darul Naim FC buat masa ini dan memilih untuk mengambil pendekatan satu perlawanan pada satu masa.
“Kami sedang membuat persiapan untuk perlawanan menentang Penang kerana ia akan menjadi perlawanan yang sangat menuntut dari segi fizikal dan mental.
“Biar kita pergi langkah demi langkah, kita akan memikirkan tentang Kelantan Darul Naim kemudian,” ujar Kuljanac kepada Sukan Sinar.
Sebagai rekod, Kuala Lumpur City akan berdepan Penang di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang pada Ahad.
Selepas itu, anak buah Kuljanac akan melayan pasukan tercorot liga, Kelantan Darul Naim di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dalam perlawanan terakhir.
Pada masa sama pengendali kelahiran Croatia itu turut menekankan bahawa persembahan yang baik padang adalah syarat terpenting untuk meraih mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir Liga Super itu.
“Pada pendapat saya, persembahan yang baik di atas padang adalah syarat terpenting untuk memenangi mata.
“Saya berharap pemain-pemain akan berada dalam suasana yang baik dan menunjukkan kualiti sebenar masing-masing. Selepas sekian lama, semua pemain akan bersedia untuk diturunkan,” tambahnya.
Bagaimanapun, ketika ditanya mengenai sasaran untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok empat teratas, Kuljanac mengakui bahawa ia sudah di luar jangkauan matematik pasukannya.
“Sekarang, secara matematik, kami tidak mungkin berada di kedudukan empat teratas, tetapi kami akan berusaha untuk mencapai kedudukan terbaik yang mungkin,” jelasnya.
LIGA SUPER
AHAD (13 APRIL)
Kelantan Darul Naim lwn Negeri Sembilan FC
(Stadium Sultan Muhammad IV, 9 malam)
Penang FC lwn Kuala Lumpur City
(Stadium Bandaraya, 8.15 malam)
RABU (16 APRIL)
Kuching City lwn Johor Darul Ta’zim
(Stadium Negeri, 8.15 malam)
* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia