Nama aktor kacak, Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar Haidar atau Que Haidar, 46, kembali menjadi sebutan orang ramai.
Semuanya gara-gara video ‘lipsync’ lagu Jamilah yang dimuat naik di TikTok baru-baru ini menjadi tular sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan pengguna media sosial.
Setakat ini, video terbabit sudah meraih 10.9 juta tontonan serta menjadi trend terbaharu media sosial tempatan.
Dek kerana namanya yang kembali melonjak selepas lebih 16 tahun memperlahankan kerjaya seni, rezeki memihak kepada Que yang kini kembali aktif mencipta nama di persada hiburan.
@quehaidar Jamilah 🤪
Terbaharu, pemenang dua kali trofi Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin itu disunting oleh jenama popular, Jakel.
“Alhamdulillah syukur pada Pencipta, terima kasih pada yang percaya dengan saya. 16 tahun saya memperlahankan kerjaya seni saya.

“Ketika saya ingin aktif semula, saya disambut oleh mereka yang hebat ini utk menjadi sebagai sebahagian keluarga Jakel. Saya cuba pasti kerjasama ini berjalan dgn lancar serta dipermudahkan.. Benarlah pencipta pegang waktu,” katanya.
Sehingga kini, video Jamilah yang dikongsikan oleh Que Haidar itu mendapat 267,000 tanda suka dan lebih 15,000 komen.
Ramai warganet kelihatan terhibur dengan gelagat santai pelakon itu sehingga ada wanita berseloroh ingin menukar nama kepada Jamilah kerana populariti lagu itu yang melonjak.






