Pencari etok hilang dihanyut arus di Sungai Pahang

Pencari etok hilang dihanyut arus di Sungai Pahang


am@hmetro.com.my

Pekan: Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika mencari etok bersama keluarga di Sungai Pahang dekat Kampung Bukit Kenau, di sini, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata, mangsa Mohd Zainureen Abd Rashid, 45, dilaporkan dihanyut arus kira-kira 6 petang ketika mencari kerang sungai itu bersama empat ahli keluarga.

Menurutnya, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat Peramu bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan mengenai kehilangan mangsa pada jam 6.18 petang.

“Bomba sudah melakukan pencarian di permukaan sungai di sekitar kawasan lelaki terbabit dilaporkan hilang tetapi mangsa gagal ditemui,” katanya ketika dihubungi.

Wan Samsul berkata, berdasarkan keterangan saksi mangsa melakukan aktiviti mencari etok di tempat cetek dan dipercayai tenggelam ketika termasuk kawasan lubuk di Sungai Pahang.

“Lelaki terbabit dilaporkan terkapai-kapai dibawa arus sebelum hilang,” katanya.

Menurutnya, saudara mangsa yang turut serta mencari kerangan itu cuba menyelamatkan lelaki terbabit tetapi gagal.

“Berdasarkan keterangan penduduk lokasi kejadian adalah bekas tapak lombong pasir.

“Paras kedalaman Sungai Pahang lokasi mangsa dilaporkan hilang dianggarkan lebih dua meter,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan jam 7.30 malam dan disambung pagi esok.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top