Paris: Pencarian harta karun besar-besaran yang dilancarkan di Perancis pada 1993, berakhir apabila hadiah Golden Owl (Burung Hantu Emas), ditemukan.
Penemuan itu menandakan berakhirnya pencarian selama tiga dekad di seluruh negara itu.
Misi pencarian itu juga memberi inspirasi kepada ribuan orang yang berusaha menyelesaikan teka-teki diberikan oleh lelaki yang sudah meninggal dunia.
“Kami mengesahkan replika Golden Owl ditemukan,” tulis Michel Becker, dalam forum Discord yang digunakan oleh peserta untuk bekerjasama dalam teka-teki itu.
Forum itu mempunyai lebih 7,000 peserta.
“Jangan pergi menggali lagi,” kata Becker.
Replika Golden Owl itu adalah arca emas dan perak seberat 10 kilogram dan bertatahkan berlian. Ia ditanam di lokasi rahsia di Perancis pada April 1993.
Sesiapa yang berharap untuk menemukan arca ini perlu menyelesaikan 11 teka-teki yang diterbitkan dalam buku On The Trail Of The Golden Owl.
Nilai arca itu pada 1993 dianggarkan bersamaan kira-kira 150,000 euro (kira-kira RM695,000).
Pencarian harta karun Golden Owlyang sangat sukar itu diilhamkan oleh penulis pemasaran Regis Hauser. Beliau menerbitkan buku di bawah nama pena Max Valentin untuk mengelakkan perhatian daripada peminat teka-teki.
Dia jarang muncul di khalayak ramai.
Becker mereka bentuk arca Golden Owl itu yang kemudiannya dihasilkan oleh tukang emas.
Beliau menguar-uarkan pencarian harta karun itu dalam wawancara di televisyen tanpa dirinya sendiri mengetahui di mana harta itu boleh ditemukan.
© New Straits Times Press (M) Bhd