Pendidikan di Gaza hancur akibat perang

Pendidikan di Gaza hancur akibat perang


Gaza: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA) memberi amaran pada Sabtu mengenai nasib pendidikan di Gaza. UNRWA menyatakan lebih 660,000 kanak-kanak terhalang dari bersekolah untuk tahun ketiga berturut-turut, di saat perang dahsyat Israel menghampiri tempoh dua tahun, lapor Anadolu Agency (AA).

“Perang di Gaza ialah perang ke atas kanak-kanak dan ia perlu dihentikan. Kanak-kanak mesti dilindungi setiap masa,” kata UNRWA dalam satu kenyataan.

Agensi itu memberi peringatan bahawa golongan muda di kawasan Gaza berisiko menjadi “generasi yang hilang”.

Sementara sekolah di Tebing Barat yang diduduki akan dibuka semula pada 1 September, bilik darjah di Gaza masih ditutup.

Kementerian Pendidikan Palestin berkata sekitar 700,000 pelajar di Gaza melihat pembelajaran mereka digantung di bawah pengeboman.

Lebih 70,000 pelajar gagal mengambil peperiksaan sekolah menengah untuk dua tahun berturut-turut.

Data kementerian menunjukkan, serangan Israel sejak Oktober 2023 membunuh sekurang-kurangnya 17,000 pelajar sekolah dan lebih 1,200 pelajar universiti di Gaza manakala, puluhan ribu lagi cedera.

Di Tebing Barat yang diduduki, puluhan pelajar juga dibunuh, cedera atau ditahan oleh tentera Israel dalam tempoh sama.

Kehilangan nyawa guru dan kakitangan akademik juga bertambah. Hampir 1,000 pekerja pendidikan dibunuh di Gaza. Ribuan lagi cedera atau ditahan di seluruh wilayah Palestin.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top