Pendidikan Etika Digital: Menjamin Akses Selamat Wanita dan Kanak-Kanak

Pendidikan Etika Digital: Menjamin Akses Selamat Wanita dan Kanak-Kanak


Riyadh: Kesaksamaan akses digital untuk wanita dan gadis terus dikenal pasti sebagai faktor kritikal dalam memastikan masa depan digital yang benar-benar inklusif dan bertanggungjawab di seluruh dunia.

Ketua Pengarah Digital Cooperation Organisation (DCO), Dr. Hajar El Haddaoui menegaskan bahawa wanita dan remaja perlu diberikan akses maklumat dalam pelbagai bahasa agar mereka tidak tercicir daripada peluang ekonomi dan pendidikan yang banyak bergantung kepada penggunaan teknologi digital.

Akses digital yang mudah dan selamat di sekolah kata beliau, turut berperanan penting dalam membina asas kemahiran digital bagi geenrasi muda bagi membolehkan mereka membangunkan kemahiran yang relevan sejak usia awal untuk menghadapi pekerjaan masa hadapan.

Dalam konteks ini, perlindungan dalam talian untuk kanak-kanak bawah 16 tahun kekal penting. Namun, pakar mengingatkan bahawa menyediakan akses digital yang bertanggungjawab lebih utama berbanding sekatan semata-mata.

Tanpa akses awal, anak muda berisiko besar ketinggalan daripada maklumat, peluang pembelajaran, dan teknologi baharu sesuatu yang boleh menjejaskan penyertaan mereka dalam ekonomi digital global.

Hari ini, kira-kira 20 peratus gadis di seluruh dunia masih tidak mendapat akses digital yang mencukupi. Pakar memberi amaran bahawa jurang ini boleh melebar jika dasar dan amalan inklusif tidak dilaksanakan segera.

Dr Hajar berkata, penyelesaian sebenar bukan sekadar menyekat, tetapi memastikan semua aplikasi dan platform digital mematuhi piawaian etika demi melindungi kanak-kanak dan wanita daripada risiko siber yang semakin meningkat.

“Malaysia dijadikan contoh kerana telah memperkenalkan norma dan peraturan yang menekankan tanggungjawab teknologi, termasuk dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada media pada Persidangan Momentum 2025 di Riyadh, semalam.

Momentum 2025 adalah persidangan antarabangsa yang menumpukan kepada hala tuju pembiayaan pembangunan, dianjurkan oleh National Development Fund (NDF) dan berlangsung pada 9–11 Disember 2025.

Pendekatan Malaysia ini dilihat sebagai model bagi banyak negara membangun yang ingin mengimbangi keperluan inovasi dengan perlindungan terhadap pengguna muda dan wanita.
Di peringkat serantau, ASEAN turut memainkan peranan penting melalui penggubalan dasar keselamatan digital, termasuk 43 kerangka dan panduan teknologi yang menyokong tadbir urus digital bertanggungjawab.

Kerangka ASEAN ini menyediakan asas penting dalam memupuk persekitaran digital yang selamat, seimbang dan beretika termasuk memastikan wanita dan gadis mendapat tempat dalam agenda pembangunan digital serantau.

Pakar menekankan bahawa dasar yang seimbang dan tadbir urus berintegriti diperlukan untuk menggalakkan inovasi teknologi tanpa mengorbankan keselamatan pengguna, terutamanya golongan terpinggir.






Source link

OR

Scroll to Top