Penduduk bantah cadangan bina asrama pekerja asing di Juru

Penduduk bantah cadangan bina asrama pekerja asing di Juru



am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Lebih 200 penduduk sekitar Taman Cendana di Juru, di sini, membantah cadangan projek pembinaan asrama pekerja warga asing setinggi 32 tingkat di kawasan itu.

Ia selepas penduduk mendakwa pembinaan asrama di Mukim 12 daerah Seberang Perai Tengah itu akan mengakibatkan keselamatan mereka bakal terancam dengan lambakan warga asing dan meningkatkan masalah sosial serta jenayah selain mencetuskan kesesakan lalu-lintas.

Penduduk, Danny Tan, 39, berkata, dia yang menetap di taman berkenaan sejak 10 tahun lalu terkejut apabila mendapat maklumat berhubung pembinaan asrama pekerja warga asing berkenaan.

“Di kawasan ini sudah terdapat warga asing dan jika dibina lagi asrama itu ia akan menyebabkan kawasan ini akan dimonopoli warga asing.

“Ini yang membimbangkan kami termasuk keselamatan tergugat dan banyak lagi isu-isu lain akan timbul termasuk kesesakan lalu-lintas apabila terdapat ratusan bas dan van yang akan masuk ke kawasan ini untuk mengambil dan menghantar pekerja asing.

“Kami juga baru dapat tahu mengenai cadangan pembinaan asrama itu baru-baru ini saja apabila wakil pemaju menjalankan kajian penilaian impak sosial (SIA) yang sesi penerangan itu dibuat hanya menerusi dalam talian,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Bagi, Khor TC, 53, kerajaan negeri sepatutnya memberi keutamaan pembinaan yang memberi faedah kepada penduduk tempatan dan bukannya warga asing.

“Kita bukan halang pembangunan tetapi kita tidak mahu warga asing mendominasi kawasan penduduk tempatan.

“Kita bimbang kehadiran mereka akan memberi pelbagai impak dari segi kebersihan, penularan penyakit, kesesakan serta kes jenayah yang sering dilaporkan membabitkan warga asing,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Bantahan Pembinaan Asrama Warga Asing di Juru, Wahid Othman berkata, surat bantahan berhubung cadangan pembinaan asrama warga asing terbabit dihantar kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Ketua Menteri pada bulan lalu namun tiada maklum balas diterima setakat ini.

“Walaupun projek ini belum dilaksanakan lagi tetapi sudah tentu ia mendatangkan kebimbangan kepada penduduk, apatah lagi asrama ini dikatakan akan menempatkan lebih 20,000 pekerja asing di kawasan terbabit.

“Kawasan Juru ini sudah ramai dengan warga asing dan projek penduduk risau ia dapat menimbulkan ketegangan sosial malah pembinaan yang berhampiran dengan kawasan kediaman juga mengganggu kualiti hidup,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top