am@hmetro.com.my
Sepang: Penduduk Taman Jenderam Budiman, Jenderam Hilir, Dengkil diarah membersihkan halangan di atas rizab simpanan jalan berdekatan perumahan itu dengan segera.
Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim berkata, pihaknya menerima aduan dan mendapati terdapat halangan di atas rizab simpanan jalan seluas 1.25 meter.
Katanya, halangan itu tidak sewajarnya diletakkan kerana ia menyukarkan penduduk sekitar untuk mengakses laluan keluar ke jalan utama.
“Surat arahan sudah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Sepang pada 26 Jun lalu, dengan memberi tempoh 30 hari bagi pihak terbabit membersihkan kawasan itu,” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, notis peringatan itu yang ditandatangani Penolong Pentadbir Tanah, Unit Teknikal dan Penguatkuasaan Daerah Sepang, Khairulsallehin Abu Shah diserahkan kepada ketua penduduk taman berkenaan.
Khairi Azali berkata, ketika ini, pihaknya sudah mengarahkan dan menghantar pegawai untuk meneliti masalah itu agar tidak berlarutan hingga menjejaskan banyak pihak.
“Surat peringatan itu sudah jelas dan penduduk taman perlu akur dan mematuhi arahan. Kegagalan mematuhi arahan boleh dikenakan tindakan di bawah Kanun Tanah Negara (Akta 828),” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Jenderam Budiman, Zahrul Nizam Shah Zainal Abidin ketika dihubungi berkata, penduduk bersedia pada bila-bila masa mengalihkan halangan itu sekiranya tuan tanah mendapat Kebenaran Merancang (KM) daripada Majlis Perbadaran Sepang (MPSepang).
Dakwanya, pada pertemuan diadakan 24 September lalu yang turut disertai MPSepang, pemilik tanah sudah diarah memohon KM untuk kerja pembangunan selanjutnya.
“Kami sedia mengalihkan halangan itu, namun peraturan ditetapkan perlu dipatuhi terlebih dahulu, termasuk ada surat KM dikeluarkan MPSepang.
“Sebelum ini tuan tanah tiada KM…selepas KM diperoleh, barulah halangan ini dibuka, kita tunggu surat KM itu,” katanya
Menurutnya, tuan tanah juga perlu mematuhi spesifikasi ditetapkan agar penduduk perumahan tidak menerima kesan daripada pembangunan, termasuk membina longkang mengelak banjir dan mengalirkan kumbahan ke tempat yang betul.
Harian Metro semalam melaporkan mengenai keluhan pembeli dan pemilik tanah berhampiran Taman Jenderam Budiman yang tidak dapat membina kediaman disebabkan halangan akses keluar masuk.
© New Straits Times Press (M) Bhd