Penempatan pegawai kanan polis perlu diteliti

Penempatan pegawai kanan polis perlu diteliti


rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penempatan pegawai kanan khususnya jawatan Pesuruhjaya Polis, Ketua Polis Negeri, Ketua Polis Daerah dan Ketua Polis Balai perlu diteliti bagi memastikan ia memenuhi kriteria serta kompetensi.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara kriteria adalah sikap keterampilan dan komunikasi pegawai terbabit.

Menurutnya, ini penting kerana mereka yang dipilih adalah barisan hadapan yang berinteraksi secara terus dengan orang awam.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini mengamalkan pendekatan lebih terbuka dan berusaha memenuhi kehendak serta keperluan masyarakat supaya lebih yakin dengan kredibiliti polis.

“Tambah pula, masyarakat kini lebih teruja dan cakna untuk mengetahui perkembangan siasatan kes menarik dan berprofil tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan perkongsian maklumat mengenai perkembangan siasatan menerusi hebahan di media massa perlu dipraktikkan dan dikemas kini bagi mengekang penularan maklumat yang tidak tepat.

“Saya percaya pucuk pimpinan pasukan yang baharu akan meneruskan usaha pengukuhan sinergi dengan rakan strategik menerusi perkongsian maklumat dan sumber secara komprehensif dan optimum,” katanya.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pegawai penyelia perlu lebih bertanggungjawab dalam menyelia subordinat masing-masing dan tidak terhad kepada aspek penugasan semata-mata.

Katanya, ia juga perlu mencakupi perihal kesejahteraan keluarga, kesihatan fizikal dan mental serta status kewangan selain hubungan sosial.

Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan menaik taraf doktrin latihan dan pembangunan modal insan bermula dari peringkat Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) menerusi Program Diploma Kepolisan.

“Terkini salah satu daripada empat Program Diploma Kepolisan iaitu Diploma Pengurusan Kepolisan (DPK) berjaya memperoleh akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) pada Mei lalu.

“Tiga lagi program yang lain dijangka akan diputuskan dalam mesyuarat pada akhir Julai ini,” katanya.

Katanya, barisan tenaga pengajar di Maktab PDRM Kuala Lumpur juga ditetapkan memiliki kelayakan akademik sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda bagi memenuhi tahap kompetensi yang diperlukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top