September 8, 2024

Penemuan terbaharu di Malaysia, Indonesia cetus lonjakan gas luar pesisir

Penemuan terbaharu di Malaysia, Indonesia cetus lonjakan gas luar pesisir


KUALA LUMPUR- Pengeluaran gas luar pesisir di Asia Tenggara bersedia untuk potensi ledakan sebanyak US$100 bilion (US$1=RM4.70), didorong oleh beberapa pemutusan pelaburan akhir yang dirancang (FID) yang dijangka menjadi kenyataan menjelang 2028, menurut Rystad Energy.

Syarikat penyelidikan tenaga global itu berkata tempoh pertumbuhan pesat yang akan datang akan dipacu oleh projek-projek laut dalam, kejayaan penemuan di Malaysia dan Indonesia baru-baru ini serta kemajuan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang positif.

“Ini mewakili lebih daripada dua kali ganda peningkatan berbanding pembangunan bernilai US$45 bilion yang mencapai FID dari 2014 hingga 2023 selain menandakan lonjakan untuk industri gas luar pesisir rantau ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Rystad Energy berkata syarikat utama minyak dan gas dijangka memacu 25 peratus daripada pelaburan yang dirancang ini menjelang 2028, manakala syarikat minyak nasional (NOC) akan menyumbang bahagian sebanyak 31 peratus.

Petronas merupakan syarikat minyak nasional Malaysia.

“Terutama, syarikat huluan Asia Timur menunjukkan kemajuan dengan 15 peratus bahagian dan berpotensi untuk pertumbuhan berdasarkan tumpuan mereka pada penggabungan dan peluang pengambilalihan serta penerokaan yang akan datang.

“Peranan syarikat-syarikat utama ini boleh berkembang lagi kepada 27 peratus berikutan usaha pemerolehan besar TotalEnergies’ di Malaysia,” kata Rystad Energy.

Awal tahun ini, TotalEnergies dilaporkan telah menandatangani perjanjian dengan OMV bagi memperoleh 50 peratus kepentingan dalam pengeluar dan pengendali gas bebas Malaysia, SapuraOMV Upstream Sdn pada harga US$903 juta, satu langkah yang akan meningkatkan kehadiran utama minyak dan gas Perancis itu di rantau ini.

“Penemuan terkini serta penglibatan NOC akan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan (pelaburan projek baharu dan komitmen modal di rantau ini), terutamanya dalam pembangunan perairan dalam, yang sangat penting dalam menentukan berapa banyak ledakan US$100 bilion itu boleh direalisasikan,” kata Naib Presiden Penyelidikan Huluan Rystad Energy, Prateek Pandey dalam kenyataan itu.

Indonesia terus menyerlah dalam usaha untuk mempercepatkan aktiviti gas luar pesisirnya yang didorong oleh projek-projek besar, menjadikannya sebagai pesaing yang menggerunkan bagi penguasaan Malaysia yang sudah mantap dalam bidang itu.

Namun begitu, firma penyelidikan itu berkata, Malaysia terus mengekalkan tahap aktiviti yang teguh dengan FID baru-baru ini, kejayaan dan usaha penerokaan terancang.

Projek FID Malaysia yang akan datang menonjolkan penemuan penting yang dibuat sejak 2020, terutama dibawah Petronas selain syarikat minyak dan gas negara PTTEP Thailand dan Shell.

— BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top