Pengadil bukan lagi kambing hitam – Halim

Pengadil bukan lagi kambing hitam – Halim


ERA menuding jari kepada pengadil dalam sukan sepak takraw bakal berakhir bermula di Sukan SEA Thailand 2025, apabila Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) mengumumkan keputusan di gelanggang tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada manusia, sebaliknya turut melibatkan penggunaan sistem bantahan (challenge system).

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, penggunaan teknologi itu akan diwajibkan dalam semua acara sukan berkenaan pada Sukan SEA Thailand 2025, menandakan langkah tegas badan induk Asia tersebut dalam memperkukuh prinsip keadilan, ketepatan dan integriti sukan.

Malah katanya, keputusan itu bukan semata-mata berkaitan teknologi, sebaliknya mencerminkan komitmen ASTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) untuk melindungi maruah pengadil serta memastikan keputusan perlawanan bersandarkan bukti sahih, bukan tafsiran subjektif.

“Sudah tiba masanya sepak takraw bergerak seiring dengan kemajuan sukan dunia.

“Kita tidak boleh terus membebankan pengadil untuk membuat keputusan dalam keadaan tekanan tinggi dan kepantasan permainan yang luar biasa.

“Mereka perlu dilindungi, bukan dijadikan kambing hitam,” katanya.

Menurut Abdul Halim, penggunaan sistem itu juga merupakan satu keperluan sains sukan moden kerana sepak takraw masa kini menyaksikan libasan melebihi 100 kilometer sejam.

“Dalam ruang gelanggang berukuran 13.4 meter panjang dan 6.1 meter lebar, margin kesilapan mata manusia hampir sifar.

“Kajian menunjukkan walaupun pengadil elit memerlukan sekurang-kurangnya 0.25 saat untuk memproses rangsangan visual, bola takraw boleh bergerak dalam tempoh hanya 0.1 saat — jurang yang menjelaskan keperluan kepada bantuan teknologi.

“Sistem ini menggunakan kamera berdefinisi tinggi dari pelbagai sudut untuk memberikan bukti visual dalam bentuk gerak perlahan. Ia mengurangkan bantahan, mengukuhkan keyakinan awam dan mengembalikan keadilan kepada permainan,” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan sistem itu akan menjadi penanda aras baharu dalam evolusi sukan sepak takraw bagi memastikan sukan tradisi berkenaan bergerak selari dengan piawaian antarabangsa.

“Kita mahu takraw bukan sahaja pantas dan menghiburkan, tetapi juga profesional, telus dan beretika.

“Teknologi ini bukan musuh kepada sukan, sebaliknya sahabat yang menjaga semangat kesukanan sejati,” katanya.

Ringkasan AI

  • ERA menuding jari kepada pengadil dalam sukan sepak takraw akan berakhir di Sukan SEA Thailand 2025 dengan penggunaan sistem bantahan
  • Penggunaan teknologi ini diwajibkan dalam semua acara sepak takraw pada Sukan SEA Thailand 2025 sebagai langkah memperkukuh prinsip keadilan dan integriti sukan
  • Keputusan ini mencerminkan komitmen untuk melindungi maruah pengadil dan memastikan keputusan perlawanan bersandarkan bukti sahih
  • Penggunaan teknologi bantuan merupakan keperluan sains sukan moden kerana sepak takraw menyaksikan libasan melebihi 100 kilometer sejam
  • Sistem ini menggunakan kamera berdefinisi tinggi dari pelbagai sudut untuk mengurangkan bantahan dan mengembalikan keadilan ke dalam permainan



Source link

OR

Scroll to Top