PENGADIL Liga Perdana Inggeris (EPL) merupakan antara individu berpendapatan tertinggi di United Kingdom, dengan pegawai utama memperoleh sekitar 250,000 pound (RM1.43 juta) setahun, menurut angka yang didedahkan oleh ketua pegawai pengadilan, Howard Webb.
Jumlah tersebut, yang dikemukakan kepada 72 kelab Liga Bola Sepak Inggeris (EFL) dan dilaporkan oleh The Times, menunjukkan betapa lumayannya pendapatan pegawai tertinggi dalam mengendalikan perlawanan bertekanan tinggi yang ditonton oleh berbilion peminat di seluruh dunia.
Secara purata, pengadil EPL memperoleh antara 170,000 pound hingga 180,000 pound setahun, dengan gaji asas bermula dari 72,000 pound hingga 148,000 pound bergantung kepada pengalaman dan tahap senioriti. Bonus prestasi dan bayaran perlawanan turut menambah pendapatan mereka.
Pengadil senior seperti Anthony Taylor dan Michael Oliver dianggarkan meraih hampir 250,000 pound daripada tugas mereka dalam EPL sahaja, manakala pengadil dalam kumpulan Select Group 1 — yang kurang berpengalaman — memperoleh sekitar 125,000 pound.
Jika mengambil kira caruman pencen dan insurans kebangsaan, badan pengadil profesional, Professional Game Match Officials Limited (PGMOL), dipercayai membelanjakan sekitar 240,000 pound untuk setiap pengadil.
Untuk memberi gambaran perbandingan, gaji purata juruterbang dan pengawal trafik udara adalah sekitar 91,208 pound setahun, manakala ketua eksekutif (81,328 pound), pengarah IT (81,588 pound), dan pakar perubatan (73,320 pound) memperoleh pendapatan jauh lebih rendah berbanding pegawai perlawanan EPL.
Namun, golongan profesional dalam bidang kewangan, insurans dan undang-undang masih mampu memperoleh gaji yang lebih tinggi.
Selain tugas domestik, pengadil juga boleh meningkatkan pendapatan mereka dengan mengadili kejohanan UEFA seperti Liga Juara-Juara, Liga Europa, dan Liga Konferensi.
Pengadil dalam Liga Juara-Juara dilaporkan menerima antara 5,300 pound hingga 9,000 pound setiap perlawanan, manakala bertugas dalam kejohanan utama FIFA seperti Piala Dunia boleh menjana pendapatan antara 38,700 pound hingga 54,000 pound — tidak termasuk bonus perlawanan. – Awani