Pengajaran buat skuad muda negara

Pengajaran buat skuad muda negara


PENGENDALI skuad bola sepak wanita Bawah 20 (B-20) negara, Cameron Ng mengakui jurang kualiti yang jauh memihak kepada Jepun menjadi faktor utama kekalahan besar 0-16 dalam perlawanan Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 di Cheras.

Beliau menyifatkan pertembungan itu sebagai pengajaran paling pahit buat skuad muda negara, sekali gus menuntut peningkatan tahap permainan jika mahu bersaing di pentas antarabangsa.

“Kami ada perancangan untuk berdepan mereka, tetapi gagal melaksanakannya dengan baik bagi memberi saingan yang lebih sengit.

“Kalau tengok perlawanan, kami memang tidak berada pada tahap sepatutnya. Jepun jauh lebih baik daripada kami.

“Mungkin pada awalnya kami terlalu menghormati mereka. Namun, apa pun, Jepun memang pasukan yang sangat kuat. Saya harap pemain akan mengambil iktibar daripada kekalahan ini,” katanya selepas perlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Cameron turut menyifatkan keputusan itu sebagai isyarat amaran (wake-up call) untuk seluruh pasukan.

“Jika mahu mencabar di peringkat ini, kami perlu menjadi jauh lebih baik dan meningkatkan kualiti pemain,” tegasnya.

Kekalahan tersebut meletakkan Malaysia di tangga tercorot Kumpulan F tanpa sebarang mata selepas tewas 0-3 kepada Iran dalam perlawanan pertama.

Guam yang akan menjadi lawan terakhir skuad negara pada Ahad, berada di kedudukan ketiga selepas turut tewas dua aksi awal.

Jepun dan Iran pula bersaing di dua kedudukan teratas dengan masing-masing mengumpul enam mata selepas mengharungi dua perlawanan.

Mengenai perlawanan terakhir berdepan Guam, Cameron menyifatkannya sebagai peluang terbaik untuk pemain negara menebus kekecewaan.

“Kami perlu melupakan kekalahan ini dan memberi fokus penuh untuk memburu kemenangan dalam perlawanan terakhir,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Bolasepak Wanita Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Suraya Yaacob, menggesa agar sokongan padu berterusan diberikan demi pembangunan bola sepak wanita negara.

“Berilah sokongan, mereka memerlukan dorongan untuk terus bangun dan kembali berjaya,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top