syafil.syazwan@hmetro.com.my
MELIHAT kepesatan industri seni lakon tanah air memberikan sinar buat anak seni tempatan.
Jika sebelum ini, isu jumlah pengikut media sosial dicanang sebagai kriteria utama pemilihan pelakon, kini ia bukan lagi menjadi masalah.
Bagi pelakon serba boleh, Kodi Rasheed, dia tidak lagi melihat perkara itu sebagai isu permasalahan utama kerana lebih yakin, tawaran kerja lakonan masih mengutamakan bakat.
“Sebelum ini saya rasa ya, berkaitan dengan pengikut media sosial. Tapi, sekarang tak rasa begitu. Mungkin sekarang ini, penerbit atau pengarah perlu berjuang untuk luluskan nama pelakon.
“Saya pernah cakap, jumlah pengikut mungkin beri kesan sewaktu zaman saya awal-awal berlakon. Pada saya, bila ditawarkan, saya buat sehabis mungkin. Kalau orang suka, Alhamdulillah,” katanya.
Menurut pelakon berusia 34 tahun ini, kehadiran pelbagai platform seperti ‘over-the-top’ atau OTT membuka banyak ruang kepada mereka untuk beraksi dan mencari rezeki.
“Platform OTT yang banyak memberi peluang kepada saya untuk berlakon drama. Ramai orang yang ada kerja sekarang. Pelakon-pelakon yang sebelum ini tak ada kerja, kini dah ada kerja,” katanya.
Berkongsi mengenai lakonan, pemenang kategori Pelakon Harapan Lelaki Festival Filem Malaysia (FFM) ke-27 pada 2015 itu sentiasa meneliti setiap skrip yang ditawarkan.
“Dari dulu lagi, saya tak main ambil saja. Saya akan baca skrip, lihat siapa pengarah dan gandingan. Waktu awal-awal dulu pun saya tak pernah dapat tawaran yang asal boleh.
“Kalau watak itu ringan, beratkan. Kalau kurang menarik, jadikan ia menarik. Saya pernah juga tak ada kerja tiga bulan, tapi bukan sebab memilih. Paling lama saya tak ada tawaran kerja selama empat bulan,” katanya.
Terbaru, Kodi bakal hadir menerusi filem berjudul Limbungan: Tragedi Hitam 1975 (Limbungan) yang akan ditayangkan pada 6 Februari ini.
Menjadi pengalaman berharga buatnya, Kodi berkongsi mengenai bagaimana perjalanan penggambaran yang dilakukan di dalam studio.
“Terus terang saya cakap awal-awal saya tertanya juga. Tapi, saya cuba layan. Amerul Affendi pun berkongsi pendapat sama. Ada kerisauan. Tapi, kami buat kerja sehabis baik.
“Lokasi itu 95 peratus dibina dalam studio. Memang mencabar juga tapi dapat pengalaman baharu. Bagi saya, ia menyeronokkan sebab mencabar diri.
“Hari-hari kami basah. Sebelum masuk set kena basahkan dulu. Pengarah, Fazli Yasin tahu apa dia nak dan dah ada papan cerita. Dia susun jadual kerja dengan sangat baik,” katanya.
Menurut Kodi, dia dan Amerul Affendi turut diberi peluang untuk terbabit sama dari awal penghasilan set dalam studio itu.
“Proses sewaktu mereka siapkan hutan dalam studio, kami dipanggil untuk lihat. Kat situ dah nampak kebijaksanaan pengarah untuk berikan kami peluang merasai set itu.
“Saya datang hari pertama di set, saya kata ini memang baik. Tapi, kos pembuatan set itu memang ‘gila’,” katanya.
Berkongsi mengenai wataknya sebagai arkitek bernama Ramli dalam filem itu, Kodi menggambarkannya sebagai satu pengalaman baharu buatnya.
“Watak saya sebagai Ramli, seorang arkitek. Dia diberi tanggungjawab untuk ke Kampung Limbungan untuk mendapatkan persetujuan kampung bagi projek memajukan. Ada beberapa kerja kotor yang dia buat dan dia paksa orang kampung untuk bersetuju.
“Harimau jadian ini melindungi tanah daripada pencerobohan. Dia memang penduduk di situ yang menjaga tanah. Kejadian ini memang berlaku pada tahun 1975 itu.
“Tak banyak babak aksi, tetapi dalam babak harimau itu menggila, banyak juga tergolek. Watak Ramli seorang yang tegas, berego tinggi dan tak sedar diri dengan pangkat dia.
“Dia nak buktikan yang dia ini bagus kepada bos dia. Dia dah selesaikan macam-macam benda sebelum dengan cara kasar dan kotor,” katanya.
Selain Kodi dan Amerul, Limbungan juga dibintangi Cat Farish, Chacha Maembong, Nor Albaniah, dan ramai lagi.
© New Straits Times Press (M) Bhd