Muhammad Fadhil. Foto Bernama
PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis meraih pengalaman berguna pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 di Nilai untuk bangkit lebih kuat pada kejohanan akan datang.
Beliau berkata, prestasi kurang memberangsangkan pada kejohanan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya sebaliknya bertekad untuk meningkatkan prestasi ke tahap optimum.
Biarpun sekadar meraih satu pingat gangsa dalam acara pecut berpasukan lelaki, namun dia tetap positif dengan potensi yang dimilikinya dalam sukan tersebut.
“Kejohanan ini adalah gabungan kebahagiaan, kekecewaan dan pengajaran yang tiada penghujung. Tempat ketiga dalam acara pecut berpasukan, keempat dalam 1 kilometer (km) ujian masa dan kelapan dalam acara keirin.
“Bersyukur atas pengalaman ini dan bersedia untuk bekerja lebih keras bagi meningkatkan prestasi. Sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik,”katanya.
Pelumba berusia 28 tahun itu diletakkan harapan untuk meraih pingat dalam acara 1km ujian masa, namun terpaksa akur terlepas podium menerusi catatan satu minit 00.896 saat (s).
Sebagai rekod, dalam ACC 2023, Muhammad Fadhil melakar sejarah apabila memenangi emas 1km ujian masa yang pertama dalam kariernya menerusi catatan masa 1:00.559s.