Pengalaman berharga Pei Kee-Mei Xing

Pengalaman berharga Pei Kee-Mei Xing


Mei Xing (kiri) dan Pei Kee menyifatkan pencapaian mereka di China sebagai petanda positif untuk lebih menyinar pada masa hadapan. Foto Agensi.

BEREGU wanita negara, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing meraih pengalaman berharga dalam saingan Terbuka China sebagai sebahagian usaha mereka untuk lebih menyerlah di pentas antarabangsa pada masa hadapan.

Malah, Mei Xing menyifatkan pencapaian mara ke suku akhir kejohanan berstatus Super 1000 itu sebagai petanda positif dalam usaha mereka membina keyakinan menghadapi gandingan terbaik dunia.

Bagaimanapun, langkah mereka tersekat di tangan pasangan pilihan tuan rumah, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian selepas tewas 7-21, 15-21 dalam masa 34 minit.

Mei Xing mengakui mereka masih perlu memperbaiki banyak aspek permainan sekiranya mahu memberi cabaran kepada pasangan elit dunia.

“Gandingan mereka sangat sempurna. Berbanding dengan perlawanan awal musim ini, pukulan dan pergerakan mereka kini jauh lebih matang dan sukar diatasi.

“Kami boleh belajar banyak daripada mereka, khususnya dari segi kelajuan, kuasa dan taktikal,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Mei Xing turut menganggap kejayaan berada dalam kelompok lapan terbaik minggu ini sebagai pencapaian terbaik mereka untuk musim ini.

“Bagi tahun ini, saya rasa prestasi di Terbuka China merupakan yang terbaik buat kami. Memang rasa kecewa, apatah lagi lawan bermain sangat baik dan kami tidak mampu mengikut kepantasan mereka,” katanya.

Di sebalik kejayaan tersebut, pasangan itu berazam untuk meneruskan momentum selepas mencipta sejarah mara ke suku akhir kejohanan berprestij itu buat kali pertama.

“Kami harap dalam bulan-bulan mendatang, kami mampu memburu sekurang-kurangnya satu kejuaraan dalam kejohanan Super 500 atau Super 300,” ujarnya.

Selepas ini, Pei Kee-Mei Xing dijadualkan beraksi di Terbuka Macau yang akan berlangsung dari 29 Julai hingga 3 Ogos depan.



Source link

OR

Scroll to Top