SKUAD hoki negara bakal menguji taktikal pasukan menjelang kempen Piala Negara-Negara di Kuala Lumpur pada Jun depan menerusi Jelajah Korea Selatan yang dijadualkan bermula Ahad ini hingga 19 Mei depan.
Malah, pengendali The Speedy Tigers, Sarjit Singh juga menegaskan mahu melihat pasukannya mempraktikkan pengalaman ketika Jelajah Australia, digunapakai di Jelajah Korea Selatan.
“Jelajah Korea merupakan satu lagi fasa penting dalam pembinaan pasukan menjelang Piala Negara-negara. Objektif utama kami adalah untuk mempertajam lagi pelaksanaan taktikal kami, terutamanya dalam senario di mana ruang dan masa terhad.
“Korea mempersembahkan gaya permainan yang sangat berbeza iaitu pantas, tersusun dan berdisiplin tinggi. Jadi ini merupakan ujian yang baik untuk menyesuaikan diri dan membuat keputusan pantas.
“Kami juga mahu mengukuhkan kombinasi kami, mengukuhkan organisasi pertahanan kami, dan memberi peluang kepada pemain untuk beraksi di bawah tekanan perlawanan berintensiti tinggi.
“Di Australia, kami diuji secara fizikal dan taktikal menentang pasukan bertaraf dunia. Walaupun terdapat perkara positif termasuk struktur yang kukuh, pergerakan bola yang lebih baik dan usaha individu yang kuat. Kami tahu kami perlu meningkatkan konsistensi kami,” katanya pada sidang media di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada Jumaat.
Sebagai rekod, Speedy Tigers mempunyai beberapa kejohanan besar pada tahun ini termasuk Kejohanan Piala Asia yang menawarkan slot automatik ke Piala Dunia buat pasukan yang muncul juara dan kejohanan ini dijadualkan berlangsung pada 27 Ogos hingga 7 September di India.
Selain itu, Speedy Tigers juga turut menyertai dua kejohanan lain iaitu Piala Sultan Azlan Shah dari 22 hingga 29 November serta Sukan SEA Thailand dari 9 hingga 20 Disember.
Sementara itu, Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Datuk Ahmad Najmi Abdul segala kos ke Korea Selatan ditanggung Kementerian Sukan Korea Selatan sekali gus menunjukkankemampuan Speedy Tigers dihargai pasukan negara berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan MHC berkata, barisan kejurulatihan akan mengumumkan senarai akhir pasukan yang bakal membawa cabaran Malaysia di Piala Negara-Negara selepas siri jelalah berakhir.
“Sebagai persiapan terakhir menjelang Piala Negara-Negara, pasukan kebangsaan kita akan membuat persiapan di Korea Selatan bermula 18 Mei hingga 29 Mei. Jelajah Korea ini dibiayai sepenuhnya oleh Kementerian Sukan Korea Selatan. Tanggunggan termasuk perbelanjaan penerbangan, penginapan, makan dan minum pasukan.
“MHC tidak mengeluarkan sebarang perbelanjaan. Kami melihat ini merupakan satu penghargaan kepada Speedy Tigers. Ini juga pasti akan menjadi pemangkin kepada pasukan untuk belatih dan bermain bersama Korea Selatan di tempat mereka.
“Kami membawa 22 pemain dan ada sedikit perubahan dengan pasukan yang dibawa di Jelajah Australia baru-baru ini iaitu melibatkan empat orang pemain lain. Selepas Jelajah Korea Selatan ini jurulatih Sarjit akan mengumumkan barisan pemain yang akan berjuang di Piala Negara-Negara pada Jun nanti,” katanya.