July 27, 2024

Pengalaman lima dekad jadi wartawan serlah bakat James Ritchie sebagai periwayat

Pengalaman lima dekad jadi wartawan serlah bakat James Ritchie sebagai periwayat


Kuching: Tanyalah James Alexander Ritchie, atau lebih dikenali sebagai James Ritchie, apa yang pernah dilalui dalam hidupnya sebagai seorang wartawan dan beliau sentiasa sudi untuk berkongsi segalanya.

Menurut beliau, disakiti dan menyakiti tanpa sengaja adalah antara rutin biasa.

Pengalaman hampir 50 tahun sebagai wartawan banyak mengajar beliau bukan sahaja mengenai profesion itu malah tentang kehidupan secara keseluruhan dan pelbagai kejayaan yang dikecapi bukan diraih dengan mudah tanpa perlu meredah onak serta duri.

“Ada ketika anda dipuji dan ada masanya anda dimarahi. Pada akhirnya, anda terpaksa jua melakukan tugasan yang diamanahkan dan kadangkala anda terpaksa menyakiti seseorang tanpa sengaja. Anda sekadar menjalankan tugas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Ketika melakukan tugasan, James Ritchie mengakui kesilapan boleh berlaku dan tiada wartawan yang terlepas namun mereka harus terus menimba ilmu.

“Apabila anda melakukan kesilapan, anda harus belajar daripada kesilapan itu. Beritahu diri bahawa saya akan melakukan tugasan dengan lebih baik. Lain kali saya akan lebih bersedia,” katanya.

Bakal menginjak usia 74 tahun, James Ritchie memulakan kerjaya pada 1970-an sebagai wartawan di meja jenayah dengan akhbar The New Straits Times di Kuala Lumpur yang mana beliau berpeluang bergaul dengan nama-nama besar mencorak hala tuju media Malaysia.

Mereka termasuk Datuk Mohd Nor Khalid yang pernah bertugas dengan Berita Harian dan akhirnya muncul sebagai kartunis terkemuka dikenali sebagai Lat serta Najib Abdul Rahman, anak lelaki Tan Sri Abdul Rahman Hashim, Ketua Polis Negara ketiga yang dibunuh pada 1974.

“Rakan-rakan menggelar saya sebagai Serpico ketika itu kerana saya sentiasa berusaha menjadi individu pertama yang tiba di lokasi kejadian dan saya berjaya melakukannya berulang kali,” kata beliau merujuk kepada watak yang dilakonkan oleh Al-Pacino dalam filem popular pada tahun 1970-an.

Bagi liputan kes-kes berprofil tinggi, artikel yang ditulis oleh James Ritchie merangkumi kisah pencerobohan Tentera Merah Jepun ke atas Kedutaan Amerika di Bangunan AIA di Kuala Lumpur, penahanan ‘Pakar Penyamaran’ Lai See Kiaw dan keganasan yang dicetuskan oleh Wong Swee Chin, atau lebih dikenali sebagai Botak Chin.

“Meskipun sibuk dengan tugasan sebagai wartawan di meja jenayah, saya masih meluangkan masa untuk bergiat aktif dalam sukan dan saya bermain ragbi untuk pasukan Selangor serta Malaysia. Saya bermain untuk Cobra di bahagian sayap,” katanya yang suka menyanyi dan turut menggemari sukan bina badan.

Walaupun dilahirkan di Pulau Pinang, James Ritchie telah menjadikan Bumi Kenyalang sebagai tempat beliau bermastautin sejak keluarganya berpindah ke negeri itu pada tahun 1960-an selepas bapanya, Datuk Seri John Ritchie menjadi Pesuruhjaya Polis Sarawak.

Selepas berkhidmat kira-kira sedekad di Kuala Lumpur, majikannya New Straits Times memutuskan untuk menjadikan beliau sebagai wakil mereka yang pertama di Sarawak pada tahun 1980-an sekali gus membuka lembaran baharu dalam kerjayanya yang telah membawa James Ritchie menjelajah ke seluruh pelusuk Bumi Kenyalang.

Beliau turut menjadi saksi detik-detik politik Sarawak dilanda krisis pada 1987 apabila kepimpinan Ketua Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, telah dicabar oleh sekumpulan ahli politik yang menentangnya.

Namun Abdul Taib telah mengambil langkah yang licik untuk mengadakan pilihan raya mengejut pada tahun sama untuk menumpaskan kumpulan itu dan situasi tersebut telah memberi inspirasi kepada James Ritchie bagi menghasilkan buku pertamanya bertajuk Abdul Taib – A Gentleman’s Victory.

Pencapaian pada usia 37 tahun itu rupa-rupanya menjadi satu ketagihan buat James Ritchie apabila beliau terus menulis dan menghasilkan 43 karya lagi termasuk mengenai seorang pakar alam sekitar dari Switzerland iaitu Bruno Manser yang tinggal bersama Kaum Penan di Sarawak yang diterbitkan pada 1994.

“Saya melancarkan buku ke-45 saya pada 21 Mei lepas,” katanya.

Bagi James Ritchie, untuk menceritakan sesuatu kisah itu bukan sekadar perlu mengetahui apa yang berlaku ketika ini tetapi harus menyelidik banyak perkara atau peristiwa lampau yang tidak pernah ditulis atau difahami sepenuhnya.

“Saya kini lebih kepada seorang periwayat. Masih lagi seorang wartawan tetapi saya merasakan masih banyak perkara yang perlu ditulis mengenai masa lampau yang tidak diketahui oleh kebanyakan orang,” katanya.

Pengalaman selama berdekad-dekad dan kemahiran menulis berjuta-juta patah perkataan sepanjang kerjaya sebagai wartawan banyak menyumbang kepada kebolehan beliau untuk menghasilkan buku dalam jumlah yang hampir sama dengan bilangan tahun perkhidmatannya sebagai pengamal media.

Bagi James Ritchie, setiap artikel yang ditulis dihasilkan dengan sepenuh jiwa berserta komitmen untuk menyajikan gaya penceritaan paling menarik kepada pembaca.

Hari ini, kerjaya penulisannya mencapai satu lagi kejayaan apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2024.

“Apa yang boleh saya katakan ialah saya amat bersyukur kerana dipilih untuk menerima anugerah ini. Ia sememangnya amat bermakna,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top