Penganggur disyaki mengamuk, rosakkan kuil direman 4 hari

Penganggur disyaki mengamuk, rosakkan kuil direman 4 hari


hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Ampang: Penganggur yang ditahan kerana disyaki mengamuk dan merosakkan kuil Hindu di Taman Sri Ampang, di sini, semalam direman empat hari bagi membantu siasatan lanjut kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, reman terhadap lelaki berusia 33 tahun itu bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Semalam media melaporkan, penganggur yang berada di bawah pengaruh dadah ditahan, selepas disyaki mengamuk dan merosakkan kuil berkenaan.

Mohd Azam dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan setiausaha kuil berusia 34 tahun, memaklumkan melihat CCTV yang menunjukkan lelaki tidak dikenali masuk ke kuil pada 6 pagi dan beredar tidak lama selepas itu.

“Kira-kira 8.29 pagi, pengadu melihat suspek sama masuk semula ke kuil terbabit dan memecahkan Sullam (tempat sembahyang penganut Hindu),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azam berkata, suspek berusia 33 tahun dan berketurunan Indonesia berkenaan dilihat membawa pelbagai peralatan termasuk tukul besi, pemotong besi, dua bilah parang dan sebilah keris.

Katanya, melihat perbuatan suspek, pengadu bergegas ke kuil berkenaan sebelum dihalau oleh suspek yang mengacukan parang ke arahnya dan mengugut untuk memotong kepala pengadu sebelum dia menghubungi polis untuk bantuan.

Mohd Azam berkata, siasatan awal mendapati suspek dipercayai berada dalam keadaan khayal ketika kejadian dan mendakwa terdengar bisikan yang menyuruhnya berbuat demikian.

Beliau mengesahkan tindakan suspek dalam insiden itu tiada kaitan dengan sebarang kumpulan ekstremis atau gerakan fanatik keagamaan, malah suspek tiada rekod jenayah, namun ujian air kencing didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan merujuk kepada perbuatan merosakkan tempat sembahyang dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top