Penganggur tak mengaku salah aibkan kehormatan anggota polis

Penganggur tak mengaku salah aibkan kehormatan anggota polis


GEORGE TOWN – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mengaibkan kehormatan seorang anggota polis dalam kejadian di Jalan Thean Teik, Ayer Itam di sini pada Rabu lalu.

Tertuduh, Goh Weng Keong, 25, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Majistret, Nadratun Naim Mohd Saidi.

Mengikut pertuduhan, lelaki yang masih bujang itu didapati mengaibkan kehormatan Koperal Nik Muhammad Faizal Nik Long, 40, dengan menyebut perkataan ‘lancau lu, lancau punya polis, cibai lu, pukimak lu, tak ada otak punya polis’ dengan maksud supaya perkataan itu didengar serta mengganggu kesantunan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan perhentian bas Jalan Thean Teik, Ayer Itam dalam daerah Timur Laut jam 6.45 petang, pada 2 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 14 November depan.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini menawarkan jaminan RM9,000 dan tiada peguam mewakili tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin tempatan serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 14 November depan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Lelaki maki hamun polis akibat tidak puas hati disaman, ditahan

Semalam, Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake dalam satu kenyataan media memaklumkan seorang lelaki yang bertindak agresif dengan memaki hamun anggota polis trafik direman selama tiga hari bagi membantu siasatan.

Suspek berusia 25 tahun itu ditahan di Taman Paya Terubong, Ayer Itam di sini pukul 10.30 malam pada Rabu lalu.

”Hasil siasatan mendapati suspek mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis trafik selepas tidak puas hati disaman susulan melanggar lampu isyarat merah di kawasan tersebut,” katanya.

Sebelum itu, tular satu rakaman video berdurasi lebih tiga minit menunjukkan suspek tidak puas hati ke atas anggota polis trafik yang mengeluarkan saman terhadapnya.

Berdasarkan rakaman tersebut suspek mengeluarkan beberapa kata kesat meskipun menyedari perbuatannya dirakam anggota tersebut. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top