firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya disaran memanfaatkan sebaiknya penganjuran Liga Negara-Negara yang bakal dikelolakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi membentuk skuad lebih mantap di masa hadapan.
Saranan itu dinyatakan pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim yang menganggap saingan itu mampu menguji kemampuan pasukan negara.
Malah katanya, Liga Negara-Negara akan menjadikan jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) lebih sengit dan kompetitif berbanding sebelum ini.
“Penganjuran liga ini adalah satu inisiatif yang sangat baik, lebih baik daripada sekadar perlawanan persahabatan. Ini akan memberi manfaat lebih-lebih lagi kepada pasukan yang lebih kecil.
“Sudah tentu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu bersungguh-sungguh dan berterusan membentuk pasukan yang lebih kuat dengan membesarkan lagi senarai pemain bagi memenuhi tuntutan pertandingan ini.
“Ini juga seharusnya membuka lebih banyak ruang kepada pemain muda untuk pendedahan dan pengalaman untuk beraksi di peringkat tertinggi,” katanya.
Terdahulu, AFC mengumumkan pelancaran kejohanan baharu, Liga Negara-Negara sebagai usaha meningkatkan tahap persaingan serta nilai komersial pasukan kebangsaan di seluruh benua itu.
Begitupun dalam kenyataan dikeluarkan, badan induk yang berpangkalan di Kuala Lumpur itu tidak menetapkan tarikh mula kejohanan namun memaklumkan pertandingan akan dijalankan menggunakan kalendar jendela antarabangsa FIFA sedia ada.
Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John berkata, pengenalan kejohanan itu mencerminkan komitmen berterusan AFC dalam menyokong pembangunan semua 47 persatuan anggotanya.
Ketika ini, AFC menganjurkan Piala Asia setiap empat tahun, dengan edisi seterusnya membabitkan 24 pasukan dijadualkan berlangsung di Arab Saudi pada Januari 2027.
Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) melancarkan kejohanan Liga Negara-Negara Eropah pada 2018, dengan tujuan meningkatkan jumlah perlawanan kompetitif yang bermakna untuk pasukan kebangsaan anggotanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






