asyikin.mat@hmetro.com.my
Ampang: Memori indah tercipta buat pasangan pengantin baharu apabila diraikan majlis perkahwinan dalam konsep unik menerusi Kayuhan Santai Pengantin bersama 100 pengayuh basikal di Trek Basikal Bukit Indah, Taman Bukit Indah, di sini, tadi.
Muhammad Rifaie Mohamad Suhaimi,24, dan isteri Hartina Ayu Basri,23, mengayuh basikal kembar sejauh lima kilometer dengan memakai pakaian pengantin tema basikal bersama tanjak, kain layah (‘veil’) dan mahkota.
Menurutnya, dia dan isteri sangat gembira diraikan dalam konsep seperti ini kerana ia jarang dilakukan dan tentunya menjadi kenangan manis tidak akan dilupakan sepanjang hayat.
“Ini kerana lazimnya pengantin diraikan bersanding di atas pelamin dengan memakai pakaian cantik.Tetapi kami berpeluh mengayuh basikal.
“Mula-mula berasa pelik dengan konsep ini tetapi memahaminya selepas ibu menjelaskan hasratnya itu,”katanya.
Menurutnya, ketika kayuhan dia merasakan ikatan yang erat terjalin dengan peserta kayuhan yang juga rakan-rakan ibu.
Sementara itu Rosida Abd Mutalib,53, berkata, program itu diadakan khusus sempena majlis perkahwinan anak keduanya Muhammad Rifaie yang bernikah Julai lalu.
“Kami memilih konsep itu kerana berasal daripada keluarga pengayuh basikal dan program ini adalah kali kedua diadakan.
“Kali pertama diadakan pada 2013 sempena majlis perkahwinan anak buah saya dan meneruskan walaupun sudah 11 tahun berlalu,”katanya.
Dia berkata, majlis itu sebagai tanda kasih sayang kepada anaknya yang melangkah alam perkahwinan dan semoga kebahagiaan rumahtanggannya kekal berpanjangan.
© New Straits Times Press (M) Bhd