September 8, 2024

Pengapungan harga, penyasaran subsidi diesel punca kenaikan mendadak kos perniagaan

Pengapungan harga, penyasaran subsidi diesel punca kenaikan mendadak kos perniagaan


KUALA LUMPUR – Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas (HAKK) melihat pengapungan harga serta pelaksanaan penyasaran subsidi diesel yang diumumkan kerajaan menyebabkan kenaikan mendadak kepada kos perniagaan.

Ia sekaligus menyebabkan pengguna menanggung beban kenaikan harga perkhidmatan dan barangan sebagai kesan rantaian kepada pengguna, kata Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, melalui mekanisme pengapungan harga diesel mengikut harga pasaran ini, peningkatan mendadak kos bahan api untuk aktiviti logistik, jentera berat serta penghantaran akan menyebabkan peningkatan ketara kepada harga servis dan perkhidmatan.

“Rasionalisasi subsidi diesel secara mendadak ini juga memberi lebih tekanan dan beban kepada golongan petani, usahawan serta peniaga perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi kelompok paling bergantung dengan penggunaan bahan api itu.

“Kenaikan secara mendadak ini juga tidak memberikan peluang kepada keseluruhan struktur pasaran untuk membuat penyesuaian sewajarnya, manakala pengguna pula sebagai pihak terakhir dalam rantaian bekalan, terpaksa menanggung kenaikan Harga,” katanya dalam kenyataan.

Sebagai contoh, kata Khairil Nizam, tinjauan di Kedah pada hari ini, petani terpaksa menanggung kos kenaikan servis pembajakan sawah padi yang meningkat kepada hampir RM500 bagi saiz serelung petak sawah yang diusahakan.

“Jumlah ini sememangya tidak dapat ditampung dengan bantuan Budi Madani kepada mereka yang berjumlah hanya RM200 sebulan.

“Jurang ini juga memberikan tekanan kepada pengguna yang dihimpit dengan pelbagai lagi kenaikan harga barangan dan perkhidmatan,” ujarnya.

Contoh seterusnya pula melibatkan kos penghantaran bagi pengusaha sayur dan makanan dengan penggunaan diesel purata sebulan sebanyak 5100 liter, menghadapi kenaikan kos sebanyak RM 6120 sebulan sedangkan subsidi diesel Budi Madani hanya berjumlah RM200 sebulan, katanya.

“Di Perak pula dilaporkan berlaku kenaikan harga pasir serta tambahan caj bagi kenderaan van (lori satu tan) tambahan harga sebanyak RM20, lori enam tayar (tiga tan), tambahan harga RM30 dan lori 10 tayar pula, ada penambahan harga RM50. Bagaimana keadaan ini tidak akan memberikan kesan kepada pengguna sebagaimana dicanangkan oleh menteri-menteri Kerajaan Madani?” soalnya.

Pas juga sebenarnya melihat ketidakmampuan kerajaan dalam menangani isu ketirisan diesel serius yang berlaku, terutama daripada aktiviti penyeludupan diesel ke negara jiran yang dianggarkan berjumlah kira-kira tiga tiga juta liter sehari lantas mengambil langkah mudah dengan mengapungkan harga diesel sedangkan penguatkuasaan dan tindakan undang-undang terhadap salahguna dan penyeludupan ini masih lemah serta tidak terlaksana secara menyeluruh.

Aktiviti penyeludupan rentas sempadan sebenarnya perlu ditangani dengan lebih bersepadu dan menyeluruh melalui semua agensi keselamatan di sempadan, termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Imigresen, KPDN, APMM dan PDRM yang mempunyai peranan besar yang perlu digembleng sepenuhnya bagi mengurangkan ketirisan, katanya.

“Pas menggesa supaya kewujudan sindiket, kartel dan pihak tidak bertanggungjawab yang melakukan penyelewengan perlu dibanteras secara menyeluruh, tidak bermusim dan tuntas,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top