Bandar Gaza: Pengarah Hospital Al Shifa berdepan detik tragis apabila menerima mayat saudara lelaki dan isteri yang terkorban dalam serangan Israel, ketika dia bertugas semalam.
Mohammed Abu Salmiya yang ketika itu berada di jabatan kecemasan berkata, dia menyelaraskan tindak balas hospital terhadap serangan Israel sebelum dikejutkan dengan berita itu.
“Saya terkejut dan hancur luluh melihat mayat saudara lelaki dan isterinya,” katanya kepada AFP.
“Apa-apa sahaja boleh berlaku sekarang kerana anda mungkin menerima orang yang paling anda sayangi sebagai syuhada atau cedera. Jenayah penjajahan berterusan dan jumlah syuhada terus meningkat,” katanya.
Keadaan di hospital itu semakin genting dengan ketibaan ambulans yang tidak putus-putus membawa lebih ramai mangsa yang terkorban dan cedera akibat bedilan tentera Israel.
Gaza menjadi tumpuan serangan hebat Israel sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan ratusan ribu penduduk Palestin melarikan diri untuk menyelamatkan nyawa.
Bagaimanapun, masih ramai yang terperangkap di bandar itu kerana terlalu letih, miskin atau tidak mempunyai cara untuk berpindah ke tempat selamat.
“Kematian lebih baik,” kata Mohammed Nassar, 38, seorang penduduk yang keletihan dan perlu menjaga tiga anak perempuannya menyifatkan kesukarannya untuk berpindah.
Agensi pertahanan awam melaporkan sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh pada Sabtu dalam siri serangan terbaharu di Gaza.
Kos untuk berpindah juga dilaporkan melambung tinggi dengan pemilik lori mengenakan bayaran antara AS$1,500 hingga AS$2,000 (kira-kira RM6,300 hingga RM8,400) bagi perjalanan sejauh 30 kilometer.
Tentera Israel menggesa penduduk Palestin berpindah ke “kawasan kemanusiaan” di Al-Mawasi, namun kawasan itu juga pernah menjadi sasaran serangan sebelum ini.
Seorang lagi penduduk, Raeda al-Amareen, berkata dia dan keluarganya mahu berpindah tetapi tidak mempunyai wang.
“Kami tidak mempunyai 10 Shekel (kira-kira RM12.50) pun untuk membeli roti. Apa yang patut kami lakukan? Kami akan tinggal di sini, sama ada kami mati atau seseorang mencari jalan penyelesaian untuk kami,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd