Los Angeles: Pengarah filem ikonik The Lion King, Roger Allers, meninggal dunia secara mengejut pada usia 76 tahun di kediamannya di Santa Monica, di sini, semalam.
Menurut jurucakap dari Disney Animation, pemergiannya itu selepas Allers pernah jatuh sakit sebelum ini.
Dilahirkan pada 29 Jun 1949, di Rye, New York, mendiang menemui minat mendalam terhadap animasi pada usia sangat muda. Kemudian dia menyambung pengajian dalam bidang seni halus di Arizona State University.
Kerjaya pengarahannya terus bermula dengan karya agung Walt Disney Animation Studios iaitu The Lion King dengan bantuan pengarah bersama Rob Minkoff.
Filem berkenaan mencetus fenomena meraih kutipan pecah panggung berjumlah RM4 bilion di seluruh dunia. Ia menjadi filem paling tinggi kutipannya pada 1994.
Sebelum The Lion King, Allers pernah terbabit dalam beberapa filem animasi Disney termasuk Aladdin, Beauty and the Beast, The Little Mermaid, Oliver, dan Company and Rescuers Down Under.
Dia turut membantu bangunkan filem Tron pada 1982.
Ketua Pegawai Eksekutif Disney, Bob Iger menyifatkan legasi kreatif hebat Allers pastinya akan terus jadi ingatan sehingga generasi seterusnya.
“Dia faham kuasa jalan cerita hebat, bagaimana hasilkan karakter sukar dilupa, emosi dan muzik mencipta sesuatu yang tidak lapuk ditelan zaman,” katanya.
Allers meninggalkan pasangannya, Genaro serta dua anaknya, Leah dan Aidan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






