Pengawal peribadi TYT meninggal dunia selepas 10 jam dirawat akibat kemalangan

Pengawal peribadi TYT meninggal dunia selepas 10 jam dirawat akibat kemalangan



am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pengawal peribadi kepada Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah meninggal dunia selepas 10 jam bertarung nyawa akibat parah di kepala selepas terbabit kemalangan dengan sebuah pikap di Kampung Laya-Laya, Jalan Sulaman, Tuaran, semalam.

Allahyarham Koperal Azfar Arshad, 33, pengawal peribadi TYT di Cawangan Keselamatan Istana Negeri, Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), pada jam 5.23 pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian jam 8.05 pagi semalam, Allahyarham yang menunggang motosikal jenis Yamaha NVX dalam perjalanan ke tempat kerja di Istana Negeri sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah pikap jenis Isuzu D-Max.

Tun Musa Aman dalam kenyataannya di Facebook memaklumkan Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di HQE I.

“Saya sempat menziarahi jenazah dan bertemu keluarga Allahyarham sebelum bertolak ke Kuala Lumpur bagi menghadiri upacara pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Mari kita sama-sama sedekahkan al-Fatihah dan mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang beriman,” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dalam kenyataannya di Facebook (FB) Polis Sabah berkata, pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga Polis Kontinjen Sabah.

Jenazah dibawa ke Majid Al-Falah, Mengkabong, Tuaran untuk dimandikan dan disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Mengkabong, hari ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top