Pengelasan B40, M40, T20: Pakar saran guna data PAKW

Pengelasan B40, M40, T20: Pakar saran guna data PAKW



kartika@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Kerajaan boleh mempertimbangkan menggunakan gabungan data daripada Indeks Kos Sara Hidup dan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) sebagai dasar dalam menentukan pendapatan bersih isi rumah yang lebih tepat, kata penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid.

Beliau berkata, PAKW adalah inisiatif utama oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW sudah dibangunkan untuk menganggar jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat seperti faktor demografi dan lokasi, termasuk jantina, umur dan bilangan ahli isi rumah yang mana setiap individu mempunyai corak perbelanjaan berbeza.

“Pengelasan pendapatan kasar isi rumah sentiasa menjadi tajuk perbincangan semasa terutamanya apabila kerajaan mulai melaksanakan program subsidi bersasar bagi menggantikan praktis secara pukal sebelum ini.

“Kerajaan juga sudah mengambil pelbagai inisiatif seperti pengumpulan data melalui pangkalan data Padu tahun lalu dan DOSM turut melancarkan Indikator Kos Sara Hidup (KSH) bermula 2023, yang mana laporan DOSM itu merangkumi 15 penerbitan bagi seluruh negara termasuk PAKW,” katanya kepada Bisnes Metro.

Justeru, beliau berkata, kalkulator MyPAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing.

“Ia bukanlah sesuatu yang harus diterima secara bulat-bulat tetapi menjadi indikator yang ‘hidup’ dengan penuh dinamik, terutama memberikan data pada masa nyata.

“Pencapaian usaha ini juga boleh juga dikatakan antara faktor utama dalam mendigitalkan agensi kerajaan bagi menghasilkan data tepat, seterusnya memperbaiki ‘delivery’ kerajaan dalam mengolah dasar dan polisi semasa,” katanya.

Menurutnya, sangat penting untuk mengenal pasti pendapatan isi rumah rakyat Malaysia yang bersih dan tepat, supaya pengagihan kekayaan negara dapat disampaikan secara efisen dan meminimumkan pembaziran sumber negara.

Katanya, ini juga dapat menolak penggunaan klasifikasi pendapatan kasar seperti B40, M40, T20 dan pelbagai lagi yang mungkin memberikan perspektif berbeza kepada situasi ekonomi negara yang sebenar.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top