PENGENDALI Southport, Neil Danns dikenakan penggantungan selama enam bulan dan denda sebanyak £1,000 selepas didapati bersalah atas kesalahan pertaruhan bola sepak.
Danns, 42, yang juga bekas pemain tengah skuad kebangsaan Guyana, mengaku melakukan 65 pertaruhan melibatkan perlawanan bola sepak antara 17 Februari 2007 hingga 13 Ogos 2022, ketika beliau masih bergelar pemain profesional.
Tempoh kesalahan itu merangkumi kerjayanya bersama beberapa kelab seperti Birmingham City, Crystal Palace, Leicester City dan Bolton Wanderers.
Menurut peraturan Persatuan Bola Sepak England (FA) yang diperkenalkan pada 2014, semua individu yang mempunyai kaitan dengan mana-mana kelab dalam lapan peringkat teratas liga Inggeris dilarang sama sekali membuat pertaruhan terhadap sebarang aspek bola sepak di seluruh dunia.
Daripada jumlah keseluruhan pertaruhan yang dibuat, 62 daripadanya dilakukan sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan, manakala tiga lagi selepas peraturan baharu diperkenalkan.
Laporan Suruhanjaya Pengawalseliaan FA mendedahkan bahawa majoriti pertaruhan Danns adalah berbentuk ‘accumulator Sabtu’, melibatkan beberapa perlawanan daripada pelbagai liga. Dua pertaruhan daripadanya menyokong pasukannya sendiri untuk tewas, manakala tiga lagi menyokong pasukannya untuk menang.
Menurut suruhanjaya tersebut, tiada bukti menunjukkan berlaku penetapan perlawanan, penggunaan maklumat dalaman atau sebarang aktiviti mencurigakan dalam corak pertaruhan Danns.
Sepanjang tempoh tersebut, jumlah keseluruhan pertaruhan yang dilakukan oleh Danns adalah sebanyak £2,137.68, dengan pulangan kemenangan berjumlah £814.43, menyebabkan kerugian bersih sebanyak £1,323.25.
Bagaimanapun, penggantungan selama enam bulan itu hanya akan dikuatkuasakan sekiranya berlaku pelanggaran semula sebelum tamat musim 2025/2026.
Keputusan terhadap Danns hadir pada minggu yang sama bekas penyerang Exeter City, Ryan Bowman, dikenakan penggantungan selama tiga tahun setengah selepas membuat 6,397 pertaruhan, termasuk perlawanan melibatkan pasukannya sendiri.